suria

Universiti berprestij di Tokyo mohon maaf ubah markah pelajar perempuan

-fotoAFP

SALAH sebuah universiti perubatan paling berprestij di Jepun membuat permohonan maaf kerana mengubah markah ujian kemasukan untuk menghadkan pengambilan pelajar perempuan.

Siasatan dalaman mendapati Tokyo Medical University (TMU) telah memanipulasi markah peperiksaan pemohon perempuan sejak awal tahun 2006.

Ia juga menurunkan penetapan jumlah skor untuk pemohon lelaki yang mengambil ujian kemasukan ke universiti itu sekurang-kurangnya sebanyak empat kali.

TMU berkata bahawa perubahan itu tidak sepatutnya berlaku.

Universiti itu juga mengaku memberikan markah tambahan kepada markah 19 pelajar yang telah membuat sumbangan kepada institusi itu.

"Kami mengkhianati kepercayaan orang ramai, kami ingin meminta maaf secara ikhlas berhubung perkara ini," kata pengarah urusan TMU, Tetsuo Yukioka kepada pemberita pada sidang akhbar, Selasa.

-foto REUTERS

Naib presiden TMU Keisuke Miyazawa juga berjanji bahawa ujian kemasukan untuk tahun depan akan dibuat secara adil.

Kisah itu pertama kali dilaporkan minggu lalu oleh Yomiuri Shimbun, akhbar harian terbesar negara itu dan sejak itu mencetuskan kemarahan ramai.

Laporan itu memetik sumber yang tidak disebut namanya yang menyatakan bahawa para pegawai di situ telah mengamalkan 'persefahaman secara senyap' untuk mengurangkan bilangan kemasukan pelajar perempuan kerana bimbang graduan wanita tidak akan mengamalkan apa yang mereka belajar dalam pekerjaan.

"Ramai pelajar wanita yang lulus akhirnya meninggalkan amalan perubatan sebenar untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak," akhbar itu memetik sumber sebagai berkata.

Pada tahun 2010, sebelum langkah itu diperkenalkan, penyertaan pelajar perempuan adalah kira-kira 40 peratus.

Akhbar itu melaporkan bahawa selepas dua kali permohonan diproses pada awal tahun ini, hanya 30 pemohon perempuan yang diterima untuk belajar, berbanding 141 lelaki. -BBC

TMU, markah, manipulasi

Artikel Lain