suria

Ekapol bertegas tiada 'budak gua' sakit, lemah

Ekapol (tengah) bersama 12 pemain bola sepak ketika mengadakan sidang media pertama sejak diselamatkan selepas terperangkap dalam gua Tham Luang baru-baru ini.

CHIANG RAI: Pembantu jurulatih pasukan bola sepak remaja Wild Boars, Ekapol Chantawong menolak laporan media bahawa mangsa pertama dibawa keluar dari gua Tham Luang dipilih kerana berada dalam keadaan paling lemah.

Media tempatan dan antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Dr Richard Harris yang memeriksa 13 mangsa terperangkap di gua Tham Luang di utara Thailand, mengarahkan mangsa yang dalam keadaan paling lemah dibawa keluar terlebih dahulu.

Sebaliknya Ekapol berkata, mangsa yang tinggal jauh diberi lampu hijau untuk keluar terlebih dahulu supaya boleh menunggang basikal untuk memaklumkan keluarga dan pihak berkuasa bahawa mereka dalam keadaan selamat.

“Semasa diselamatkan...kami semua berada dalam keadaan sihat dan kuat, tiada yang sakit atau lemah.

“Jadi kami memutuskan siapa yang tinggal jauh, dialah yang perlu keluar terlebih dahulu, supaya dia boleh menunggang basikal dan memaklumkan kepada keluarga bahawa kami akan pulang ke rumah tidak lama lagi,” ujar Ekapol.

Semasa memutuskan perkara itu, Ekapol dan 12 pemain berumur antara 11 dan 16 tahun tidak menyedari bahawa kisah mereka terperangkap selama 18 hari di gua Tham Luang telah menjadi tumpuan dunia.

Kesemua mereka memasuki gua Tham Luang pada 23 Jun lalu, namun terperangkap selepas hujan monsun melanda wilayah Chiang Rai menyebabkan kenaikan paras air dalam sistem gua tersebut naik mendadak.

Usaha menyelamat mengambil masa tiga hari bermula pada 1 Julai lalu melibatkan kepakaran pasukan SEAL dari Tentera Laut Thailand dan pasukan penyelam pakar antarabangsa. - The Guardian

Ekapol, Tham Luang

Artikel Lain