suria

Ibu tak sedar mengandung, 'terlahir' kembar di tandas

SEORANG wanita mendedahkan dia hanya mengetahui bahawa dirinya hamil ketika melahirkan anak kembar di tandas pada tengah malam.

Beth Bamford, 21, dari Stoke-On-Trent, Staffordshire, mendakwa dia tidak tahu dirinya sedang hamil kerana masih datang haid dan menyangka berat badannya naik kerana 'lemak'.

Bamford yang sebelum ini mempunyai dua anak Elsa-Mae, tiga tahun dan Alivia, dua tahun, melahirkan seorang bayi perempuan, Willow, ketika teman lelakinya, Andy Morris, 22, sedang tidur.

Dalam keadaan tergesa-gesa, dia menghubungi perkhidmatan kecemasan tetapi sebelum ambulans tiba, kembar Willow, Freya pula dilahirkan.

Bamford terkejut melihat Freya yang dilahirkan songsang dan tidak bernafas, tetapi para medik sempat mengajarnya tentang prosedur 'goncangan kecil' melalui telefon sehingga Freya akhirnya dapat bernafas.

Bamford sebelum itu telah berjumpa doktor berkali-kali kerana tidak sihat tetapi dia dan doktornya langsung tidak sedar tentang kehamilan itu.

Dia mendakwa tidak menunjukkan tanda-tanda kehamilan dan masih datang haid, tidak mengidam atau makan lebih banyak daripada biasa dan berat badannya hanya naik sedikit menyebabkan dia terfikir sudah gemuk.

Bagaimanapun, Bamford berkata, bayi kembar itu adalah kejutan buat keluarganya.

"Ini kejutan besar tetapi kejutan yang menyenangkan. Saya tidak tahu saya hamil sama sekali.

"Saya sedang tidur dengan pasangan saya dan rasa sakit. Saya tak beritahu apa-apa kepadanya tetapi turun ke bawah untuk ambil segelas air dan sakitnya lebih teruk, saya fikir saya perlu ke tandas.

"Saya masih duduk di tandas ketika saya melahirkan anak. Saya tak rasa apa-apa ketika kejadian.

"Ia terlalu cepat. Suatu ketika, saya rasa sakit dan kemudian dapat dua bayi baharu.

"Saya tak telefon ambulans tetapi menghubungi perkhidmatan kecemasan dan mereka bercakap dengan saya semasa saya melahirkan kembar pertama.

"Mereka suruh saya keluarkan plasenta. Saya teran lagi tetapi bayi lain yang keluar, bukan plasenta.

"Bayi kedua tak bernafas kerana songsang. Saya panik.

"Tiada siapa dengar ketika saya menjerit dan saya tak dapat kejutkan pasangan saya kerana saya berada di lantai bersama bayi dan tak dapat bergerak.

"Andy akhirnya bangun dan masuk ke bilik mandi dan hanya memandang saya.

"Dia pergi ke bilik tidur ibunya dan beritahu 'Beth dapat dua orang bayi di bilik mandi'."

"Dua ambulans datang dan bertanya banyak soalan. Mereka anggap saya tahu beberapa maklumat kehamilan tetapi tidak sebenarnya.

"Saya beritahu mereka bahawa saya tak tahu saya mengandung apatah lagi bayi kembar, tetapi tiada siapa percayakan saya malah pasangan saya pun fikir saya berahsia.

"Sudahlah saya terkejut melahirkan bayi, orang lain pula tuduh bukan-bukan.

"Saya tak ada apa-apa persediaan, tidak ada lampin atau apa-apa untuk dibawa ke hospital."

Doktor percaya Bamford hamil 37 minggu apabila dia melahirkan kembar pada 21 Februari.

Pasangan kembar itu dan ibunya menghabiskan masa seminggu di hospital.

Tetapi Bamford yang sudah mempunyai dua anak gembira apabila apabila dibenarkan pulang.

"Saya rasa lega sikit, tetapi tetap terkejut daripada dua kepada empat (anak). Ramai yang beri sokongan.

"Saya tak perlu beli apa-apa untuk mereka, kerana ramai yang membeli pakaian dan berbakul-bakul barang untuk mereka," katanya. -DailyMail

hamil, kembar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain