suria

Nama 'Aminah' cetus kontroversi, zoo diserbu

-foto IG @kebunbinatangsurabaya

SEBUAH zoo di Surabaya, Indonesia kecoh gara-gara seekor anak unta bernama Aminah.

Kekecohan berlaku apabila anggota Front Pembela Islam (FPI), pada Ahad melakukan kunjungan tergempar ke zoo itu sebagai tanda protes ke atas nama yang diberikan kepada seekor unta yang lahir pada 15 Mei lalu.

Pihak FPI beranggapan, nama itu telah mempersendakan nama ibunda Nabi Muhammad SAW, Siti Aminah.

Bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan, pihak zoo menerangkan bahawa pemberian nama Aminah itu tidak benar.

Berdasarkan dokumen, nama unta kontroversi itu ditulis Sarinah.

Tetapi, ketika membuat hebahan media tidak lama dulu, ia telah disalah sebut dan menimbulkan kekeliruan.

"Ya betul FPI ke sini. Isu ini hanya salah sebut, nama unta itu sebenarnya Sarinah, atau ketika diumumkan teman-teman media tidak dengar," kata ketua perhubungan awam zoo, Winy memetik JawaPos.com Isnin.

Apabila penjelasan dibuat, kedua-dua pihak berpuas hati dan saling bermaafan.

"Kita minta maaf, pihak FPI memafkan. Malah FPI juga minta maaf jika kehadirannya mencetuskan kekecohan dan rasa kurang senang," katanya.

Anak unta itu lahir di Zoo Surabaya dari pasangan Milo, 14, dan Okky, 25 selepas ibunya bunting selama 13 bulan.

Anak unta berbulu putih itu menjadikan keluarga unta di zoo itu kini menjadi enam ekor.

unta, Aminah, Surabaya

Artikel Lain