suria

Syarikat pakaian Wildfang hasilkan jaket 'perli' Melania

SEBUAH syarikat pakaian di Amerika Syarikat (AS), Wildfang menyindir Melania Trump dengan menjual jaket yang tertera perkataan "I really care, don't you?".

Ia sebagai reaksi balas di atas tindakan isteri Presiden AS, Donald Trump itu yang memakai jaket dengan tulisan “I really don’t care” semasa melawat migran kanak-kanak yang dipisahkan dari ibu bapa mereka baru-baru ini.

Ketua Eksekutif Wildfang, Emma Mcllroy berkata jaket tersebut dijual pada harga AS$98 dan hasil penjualan itu akan didermakan kepada kumpulan sokongan migran dan pelarian yang berpangkalan di Texas.

Lawatan Melania ke sebuah kem penempatan migran kanak-kanak di Texas pada Khamis lalu 'ditenggelami' oleh kontroversi jaket yang dipakainya.

Gambar Melania memakai jaket itu turut tular di media sosial.

Jurucakap Melania berkata jaket itu tiada mesej tersembunyi tetapi Trump menerusi Twitternya menyifatkan ia sebagai "berita palsu".

Wildfang menjual jaket dengan tulisan “I really care, don’t you?” secara atas talian pada hari sama semasa kunjungan Melania ke kem penempatan migran kanak-kanak berkenaan.

"Saya terfikir, 'Mengapa kita tidak menjual jaket dengan tulisan sebaliknya? Mengapa kita tidak mengeluarkan jaket yang membawa maksud bagus di dunia?," kata McIlroy.

Kumpulan pertama 100 jaket yang dihasilkan Wildfang habis dijual dalam tempoh sejam manakala kumpulan kedua turut laris bak pisang goreng panas.

Mcllroy berkata syarikat pakaian tersebut yang baru berusia lima tahun kini mengambil tempahan untuk kemeja-T dan jaket lain.

Katanya, dengan penjualan jaket itu, Wildfang kini semakin hampir mengutip AS$50,000 untuk didermakan kepada Pusat Pendidikan dan Perkhidmatan Perundangan bagi Imigran dan Pelarian (Raices) di San Antonio, Texas.

Melania Trump, Wildfang

Artikel Sebelum

Artikel Lain