suria

Ferrari dalam taman, lego gergasi meriahkan hari lahir Putera George

SEMPENA ulang tahun kelahiran kelima Putera George pada tanggal 22 Jun, kedua ibu bapanya merancang majlis sambutan secara besar-besaran.

Putera William dan isterinya, Kate Middleton dikhabarkan membelanjakan sejumlah wang bagi meraikan hari bersejarah itu khusus untuk putera sulung mereka.

"Kate sedang merancang parti hari lahir dalam taman di Istana Kensington yang menelan belanja $100,000 (RM401,350). 

"Kate jarang memanjakan anaknya seperti ini tapi dia mahu hari lahir kelima George menjadi sesuatu yang akan diingati.

"Dalam majlis itu, akan ada banyak kereta mainan seperti Ferrari bersaiz mini yang boleh dipandu George dan rakan-rakannya di sekitar taman," ujar satu sumber dalaman kepada amagazine.

Malah, ratusan belon dan lego bersaiz gergasi serta permainan gelongsor angin akan ditempatkan dalam majlis itu.

Selain itu, tetamu juga akan menikmati 15 jenis hiburan termasuklah persembahan ahli silap mata dan pembuat pizza.

"Kate akan membuat kejutan kepada George dengan kek yang besar dan berwarna-warni," tambah sumber itu lagi.

Pastinya ramai yang tertunggu-tunggu untuk melihat si comel itu bersama dua lagi adiknya, Charlotte, 3, dan Louis, dua bulan dalam majlis itu nanti.

Putera George, Kate, Ferrari

Artikel Lain