suria

Budak 11 tahun buat ujian IQ, lepasi skor Albert Einstein, Stephen Hawking

SEORANG murid perempuan mencapai skor tertinggi dalam ujian kepintaran Mensa IQ, malah mengatasi ahli sains terkenal Stephen Hawking dan Albert Einstein.

Snnehal Vijay, 11, dari Stanwell, Surrey, mengejutkan ibu bapanya apabila mendapat 162 markah untuk kertas Cattell III B, yang mana dalam semua peserta yang diuji, hanya satu peratus yang berjaya melepasinya.

Walaupun skornya lebih tinggi daripada Einstein, terdapat satu had yang ditetapkan iaitu orang dewasa hanya boleh mendapat markah maksimum 161, manakala kanak-kanak boleh mendapat 162 markah maksimum.

Ibu bapa Snnehal, Swatantra dan Nitika, berkata mereka seolah-olah berada di 'bulan' ketika membuka surat yang menunjukkan markah peperiksaannya.

Keputusan itu merupakan satu lagi berita baik untuk Snnehal kerana dia juga telah diterima masuk ke Sekolah Henrietta Barnett, salah sebuah sekolah tatabahasa terbaik negara, di mana dia akan mula belajar di situ pada September.

Swatantra berkata dia mendapat idea untuk anak perempuannya menduduki ujian Mensa selepas melihatnya membuat persediaan untuk ujian pra-kemasukan ke Henrietta Barnett.

"Dia enggan melakukannya. Jadi enam bulan lalu, saya ajak keluarga bercuti tetapi dia perlu duduk selama dua jam dan ambil peperiksaan sebelum kami semua boleh ke London," katanya.

"Jadi dia melakukannya dan kemudian kami pergi ke Victoria untuk membeli belah.'

Snnehal berkata dia terkejut kerana mendapat markah yang sangat tinggi.

"Apabila saya pulang dari sekolah bapa seperti mahu beritahu berita menggembirakan. Saya fikir dia bergurau," katanya.

Ibunya, Nitika sama-sama terkejut dengan keputusan itu.

"Kami tak sangka dia akan mendapat skor tertinggi dalam ujian IQ Mensa."

Swatantra berkata dia sentiasa kagum dengan 'minda analitik' anak perempuannya, sambil menambah Snnehal juga menjadi sebab mengapa dia kembali membaca.

"Dulu masa muda saya biasanya membaca tetapi berhenti ketika saya semakin tua.

"Ketika dia membesar dia akan membaca untuk saya. Hadiah apabila mendapat keputusan ujian yang baik adalah memilih sebuah buku untuk saya baca."

Ujian Cattell III B, yang meneliti verbal lisan, adalah salah satu daripada dua ujian peperiksaan Mensa.

Satu lagi ujian, yang dipanggil Culture Fair, adalah ujian rajah yang lebih sesuai untuk mereka yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama atau yang disleksia.

Untuk layak menyertai Mensa, pemohon perlu mendapat markah tertentu dalam salah satu kertas kerja; sekurang-kurangnya 148 skor dalam Cattell III B atau sekurang-kurangnya 132 skor dalam Culture Fair.

Apa itu Mensa?

Mensa British mempunyai lebih daripada 20,000 ahli dari semua lapisan masyarakat.

Purata orang dewasa mempunyai IQ 100, manakala skor di atas 140 dianggap sebagai seorang genius.

Mensa mempunyai 110,000 ahli di seluruh dunia. Lapan peratus ahli berada di bawah usia 16 tahun dan 35 peratus adalah wanita.

The Cattell III B mempunyai 150 soalan yang menilai pemahaman melalui ayat-ayat teks.

Skor maksimum yang mungkin ialah 161 untuk orang dewasa, dan 162 untuk kanak-kanak bawah 18 tahun.

Satu-satunya cara untuk menyertai adalah membuktikan IQ anda.

Ahli Mensa menggunakan komuniti ini untuk berkongsi pengetahuan dan minat mereka dengan orang-orang yang berfikiran sama.

Ia diasaskan pada tahun 1946 di Oxford oleh Lancelot Lionel Ware, seorang saintis dan peguam, dan Roland Berrill, seorang barrister dari Australia. -dailymailUK

ujian IQ, ujian Mensa, budak genius

Artikel Lain