suria

Tergamak menipu untuk bercuti mewah, anak derhaka!

Muriel. Foto Focus Features

SEORANG ibu dari Flint, Wales tidak mengaku seorang wanita sebagai anaknya selepas ditipu menerusi pinjaman sebanyak £10,000 semata-mata untuk membawa rakan-rakannya pergi bercuti.

Michelle Hughes, 52, yang menjalani kehidupan mewah, dengan berbelanja besar dan membawa rakan-rakannya menaiki penerbangan ke Lapland di Finland.

Wanita malang itu, Muriel pernah bertanya sama ada anak perempuannya memenangi loteri, tetapi kemudian mendapati wang yang dibelanjakan itu adalah miliknya.

Muriel yang berusia 74 tahun menyedari perkara tersebut semasa membuat permohonan pinjaman untuk dirinya sendiri bagi mengubah suai rumahnya.

Permohonan pembiayaan itu bagaimanapun ditolak.

Michelle disabitkan hukuman penjara 18 bulan yang ditangguhkan selama dua tahun, dan menandatangani perintah berkurung selama enam bulan, selepas mengaku bersalah.

Michelle. Foto Focus Features

Muriel berkata: "Saya terpaksa pergi ke balai polis dan mendengar rakaman perbualan telefon anak perempuan saya yang menyamar sebagai saya. Rasa sakit hati.

"Michelle dan saya rapat, saya ingatkan dia seorang anak yang baik.

"Suami saya, Arthur, meninggal dunia enam tahun lalu dan Michelle memberi jaminan pada hari kematian bapanya bahawa dia akan menjaga saya.

"Bila dia khianati saya, rasa teramat sakit. Saya tidak dapat menerimanya. 

"Saya tahu dia selalu hidup mewah, sering pergi bercuti. Dia belanja lapan orang untuk ke percutian mewah di Lapland. Saya pernah bergurau denganya sama ada dia menang loteri.

"Kemudian barulah saya tahu rupa-rupanya dia gunakan pinjaman wang saya," katanya dengan nada kesal.

Michelle merupakan anak sulung daripada tiga beradik, dan anak perempuan tunggal Muriel. 

Muriel berkata: "Dia bukan lagi anak perempuan saya. Saya mahu orang tahu apa yang dia sudah lakukan kepada keluarga kami.

"Tindakannya membuatkann saya sakit. Saya terpaksa membayar 70 peratus daripada jumlah pinjaman itu.

"Saya tidak sihat dan bayaran semula pinjaman itu membuatkan hidup saya terseksa," katanya. - Mirror UK

Artikel Berikut

Artikel Lain