suria

'Tiada niat jahat', kata wanita dicium Duterte

"TIADA niat jahat."

Itulah yang dikatakan oleh wanita Filipina yang dicium Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Ahad apabila ditanya oleh Philippine News Agency (PNA) yang dikendalikan oleh kerajaan mengenai kejadian kontroversi tersebut.

Dalam temu bual yang disiarkan pada Isnin, Bea Kim yang bekerja di Korea Selatan selama tujuh tahun mengaku gembira dapat bertemu dengan presiden.

Selepas ucapan Duterte di Hotel dan Pusat Konvensyen Grand Hilton pada Ahad, presiden memanggil Kim dan seorang wanita lain untuk menerima buku yang diberikan olehnya.

Duterte berkata dia tidak dapat menawarkannya kepada lelaki kerana dia mahukan ciuman sebagai pertukaran.

Bagaimanapun wanita pertama yang dipanggilnya ke pentas hanya memeluk Duterte, tidak seperti Kim yang akhirnya membiarkan presiden mencium bibirnya.

Tindakan tidak masuk akal ini telah mengejutkan netizen.

Dalam video PNA, Kim berkata: "Saya tak dapat menerangkannya. Saya macam gugup, takut, teruja, bersyukur. Saya gembira kerana ia adalah pengalaman sekali dalam seumur hidup, bukan? Malah di Filipina pun, dah lama tak tengok presiden dengan begitu dekat."

Dia juga menjelaskan bahawa ciuman itu hanya dilakukan untuk 'mengasyikkan' penonton.

"Janji, bagi saya dan Presiden Duterte, itu tidak bermaksud apa-apa," kata Kim.

Netizen membincangkan tentang reaksi Kim di media sosial.

Pelakon Agot Isidro menyifatkan wawancara PNA dengan Kim sebagai 'mengawal kerosakan'.

Pengguna Twitter @SPAMelaHam berkata dia berharap lebih ramai wanita mendapat kekuatan untuk menolak jika berdepan situasi seperti ini.

"Saya faham tak mudah untuk berkata 'tidak' kerana anda sedang berdepan dengan presiden tetapi sikap presiden tidak betul," tulis @SPAMelaHam.

"Saya harap ini tidak berlaku lagi, tidak wajar untuk seseorang menggunakan kamu hanya untuk mengasyikkan orang lain. Saya harap kita semua ada kekuatan untuk menolak."

Duterte, Korea Selatan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain