suria

Dasar baharu Starbucks, boleh lepak tanpa beli

-Gambar hiasan

NEW YORK: Starbucks mengumumkan satu dasar baharu yang membolehkan sesiapa sahaja duduk di kafe atau menggunakan tandasnya, walaupun tidak membuat sebarang pembelian.

Dasar baharu itu dibuat lima minggu selepas dua lelaki kulit hitam yang tidak membeli sebarang produknya ditangkap di salah satu outletnya di Philadelphia.

Para eksekutif syarikat menyatakan bahawa dasar terdahulu adalah longgar dan tidak jelas, menyebabkan keputusan sama ada orang awam boleh duduk di premis atau menggunakan tandasnya bergantung kepada pengurus.

Starbucks berkata pihaknya telah memberitahu pekerja untuk mempertimbangkan sesiapa sahaja yang berada di kedainya sebagai seorang pelanggan 'tanpa mengira sama ada mereka membuat pembelian atau tidak'.

Syarikat itu berkata sesiapa sahaja boleh menggunakan kafe, patio atau tandasnya tanpa sebarang pembelian, tetapi menyatakan pekerja masih perlu menghubungi polis jika terdapat ancaman keselamatan.

"Kami komited untuk mewujudkan budaya kehangatan dan kebersamaan yang mana semua orang dialu-alukan," kata Starbucks dalam satu kenyataan.

Kedua-dua lelaki itu yang ditangkap pada 12 April di Philadelphia sedang menunggu seorang lagi rakan untuk satu perbincangan.

Salah seorang daripada mereka tidak dibenarkan menggunakan tandas kerana tidak membeli apa-apa di Starbucks.

Seorang pekerja telah bertindak menghubungi polis dan dua lelaki berkenaan, Rashon Nelson dan Donte Robinson, ditangkap. Mereka menghabiskan berjam-jam di penjara sebelum dibebaskan.

Insiden itu, yang mana videonya tular di media sosial, memberikan tamparan hebat kepada syarikat rangkaian kopi itu.

Starbucks sebelum ini sering mempromosikan perniagaannya sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kesedaran sosial dan mempromosikan premisnya sebagai tempat berkumpul.

Sebagai tindak balas terhadap penangkapan itu, Starbucks merancang untuk menutup lebih dari 8,000 buah kedai AS pada petang 29 Mei untuk satu latihan perkauman untuk pekerja mereka.

Lelaki yang ditahan telah membuat penyelesaian dengan Starbucks awal bulan ini untuk satu jumlah yang tidak didedahkan dan tawaran pendidikan kolej secara percuma. -AP

lepak Starbucks

Artikel Lain