suria

Netizen marah pekerja 'berkelah' dalam 7-Eleven, bakul dijadikan meja!

RANGKAIAN kedai serbaneka 7-Eleven memberi tindak balas berhubung gambar beberapa pekerjanya sedang makan dan bersantai di tengah kedai.

CP All, syarikat yang mengendalikan kedai serbaneka 7-Eleven di Thailand, berkata pihaknya telah memberi amaran kepada pekerja yang gambar mereka sedang makan malam di dalam salah satu cawangan mereka tular.

Dalam gambar tersebut, pekerja-pekerja tersebut menjadikan bakul membeli-belah dan bakul penyimpanan barang sebagai meja.

Gambar-gambar itu telah diulang kicau (retweet) sebanyak lebih 69,000 kali sejak pengguna @Plaizaizang pertama kali menyiarkannya pada Sabtu dengan hashtag #7ElevenReview.

"7-Eleven tak latih pekerja mereka ke? Adakah pekerja dibenarkan letak meja dan makan di tengah-tengah kedai?," dia mengajukan soalan.

"Mereka cakap terjerit-jerit di situ," tambahnya.

Foto-foto itu dirakamkan di kedai 7-Eleven berhampiran Persimpangan Kaset.

Sesetengah netizen menyatakan kebimbangan mengenai kebersihan, kerana seorang pekerja (yang tidak memakai seragam) dapat dilihat dengan jelas berdiri di atas bakul yang digunakan untuk makan.

Rata-rata berpandangan, walaupun mereka tidak mengharapkan perkhidmatan kelas pertama dalam 7-Eleven, mereka sekurang-kurangnya berharap para pekerja untuk tidak bercakap 'terjerit-jerit' di depan pelanggan.

"Jika saya pemiliknya, saya akan pecat mereka. Tiada disiplin. Imej sangat penting untuk tugas perkhidmatan. Bagaimana anda boleh makan di tengah-tengah kedai?" tulis @KHWisarut.

CP All telah mengemukakan permohonan maaf dalam kenyataan Facebook, Isnin, sambil menambah outlet yang menjadi kontroversi itu diuruskan oleh rakan francaisnya.

Mereka juga bukan pekerja sepenuh masa.

"Kepada semua pelanggan, syarikat telah dimaklumkan tentang kejadian itu dan telah memberi amaran kepada pekerja sementara terbabit, begitu juga dengan pengurusan kedai, supaya mereka tidak mengulangi tindakan tersebut. Kami juga mengarahkan semua kedai untuk mematuhi peraturan."

7Eleven, berkelah

Artikel Lain