suria

Bebas selepas dikurung bapa lebih 20 tahun, satu lagi derita menanti lelaki ini

Polis menutup wajah Yoshitane Yamasaki ketika ditahan di bandar Sanda, Jepun pada Isnin. -fotoAP

SEORANG lelaki dengan masalah mental yang dikurung oleh bapanya dalam sangkar selama kira-kira 20 tahun kini perlu menanggung satu lagi penderitaan.

Dia yang ditemui menderita oleh perkhidmatan sosial di bandar itu pada Januari kini hampir buta, kata pihak berkuasa.

Pegawai bandaraya di sini mengambil masa hampir sebulan untuk membuat laporan polis berhubung keadaan lelaki berusia 42 tahun itu selepas meletakkannya dalam perlindungan, kerana ia tidak dianggap sebagai mengancam nyawa.

Polis mengesyaki mangsa telah menghabiskan sekurang-kurangnya 20 tahun di dalam sangkar, yang saiznya hanya muat untuk seorang orang dewasa berbaring.

Bapa lelaki itu, Yoshitane Yamasaki, 73, ditahan pada 7 April. Anaknya telah buta sebelah mata dan hampir buta sebelah lagi matanya, menurut sumber penyiasatan.

Polis akan menentukan sama ada masalah penglihatannya mempunyai kaitan dengan keadaan dirinya yang terlalu lama dikurung dalam sangkar.

Ketua bahagian kesihatan dan kesejahteraan kerajaan bandar, Tomoya Takami adalah antara pegawai tempatan yang memberikan sidang media di sini pada 9 April untuk menjelaskan latar belakang kes itu dan bagaimana ia ditangani.

Mereka menyatakan bahawa Yamasaki telah berunding dengan pihak berkuasa bandar beberapa kali mengenai keadaan anaknya lebih dari 20 tahun lalu.

Anak itu didaftarkan sebagai kurang upaya tetapi tidak pernah menggunakan perkhidmatan kebajikan perbandaran.

Pegawai-pegawai mengakui pihaknya telah diberitahu mengenai keadaan itu oleh perkhidmatan kebajikan sosial pada 16 Januari.

Dua hari kemudian, pegawai-pegawai bahagian kebajikan dan kesihatan melawat Yamasaki di rumahnya dan mengesahkan bahawa anaknya dikurung dalam sangkar.

Walaupun mengesyaki ia adalah kes penyalahgunaan, mereka tidak cuba untuk memisahkan lelaki itu dari keluarganya dan meletakkannya dalam penjagaan perlindungan.

Sebaliknya, mereka meminta Yamasaki membawanya ke hospital atau kemudahan kebajikan.

Pada 19 Januari, para pegawai melawat rumah itu sekali lagi dan mengesahkan bahawa anak itu masih dikurung.

Yamasaki bersetuju untuk membawa anaknya ke sebuah hospital pada 22 Januari. Setelah diperiksa oleh seorang doktor, anaknya dibawa ke penjagaan kebajikan.

Berkenaan kelewatan pihak berkuasa bandar memaklumkan polis, seorang pegawai berkata: "Sekiranya terdapat bahaya kepada kehidupan dan anggota badan, penjagaan perlindungan secara paksa dibenarkan. Tetapi kami tidak menilai ini sebagai kecemasan dan memutuskan bahawa sokongan melalui perkhidmatan kebajikan sosial yang biasa adalah pendekatan terbaik." -Asahi Shimbun

kurung anak, masalah mental

Artikel Lain