suria

Walau Tiada Kepala, Ayam Ini Hidup Seperti Biasa

Paparan skrin video di Youtube.

SEEKOR ayam telah diangkat sebagai 'wira' kerana mampu hidup lebih dari seminggu selepas kepalanya dipenggal.

Dalam kejadian di wilayah Ratchaburi, Thailand, ayam itu kini dijaga oleh seorang sami yang memberinya makan dengan cara mengepam makanan dengan jarum suntikan melalui lehernya.

Ayam tanpa kepala itu menjadi tajuk utama berita awal minggu ini, selepas gambar dan videonya tular di media sosial Thailand, tetapi ramai menganggap ia tidak akan hidup lama tanpa kepala.

Pengguna Facebook Noppong Thitthammo adalah orang pertama berkongsi kisah ayam malang itu, bersama dengan gambar-gambar yang menunjukkan bahagian leher yang sudah buruk.

Dia menulis, seorang doktor haiwan di Mueang Ratchaburi, wilayah Ratchaburi telah menjaga ayam tersebut dengan memasukkan makanan melalui lehernya dan memberikan antibiotik untuk mencegah jangkitan luka.

"Haiwan ini mempunyai kehidupannya. Jika ia mahu hidup, kita berikannya makanan," doktor haiwan yang menjaga haiwan ini, Supakadee Arun Thong memberitahu wartawan Thai.

Tiada siapa tahu apa yang menyebabkan ayam itu hilang kepala, walaupun ramai yang mengesyaki ia diserang haiwan pemangsa.

Selepas kehilangan kepalanya, ramai bersetuju haiwan itu sepatutnya sudah mati, tetapi ia berlaku sebaliknya. Bukan sahaja masih hidup, ia juga boleh berdiri dan berjalan tanpa tujuan.

Pada mulanya, ramai menganggap gambar-gambar itu adalah satu penipuan, tetapi ramai yang percaya selepas video kejadian tular dan agensi berita barat mula menyiarkan kisah ini.

Percaya atau tidak, ini bukan kali pertama seekor ayam dapat bertahan tanpa kepala.

Mike, ayam tanpa kepala juga menjadi sensasi media antara tahun 1945 dan 1947, yang mampu hidup selama 18 bulan.

Kisah ini juga dikatakan satu penipuan, sehinggalah pemiliknya membawanya ke University of Utah di Salt Lake City untuk pengesahan.

Kes-kes yang jarang berlaku ini dikaitkan dengan anatomi unik haiwan ini.

Otak ayam terletak di satu sudut di bahagian tengkorak, jadi jika kepala dipenggal dan tidak terkena bahagian belakang otak yang mengawal fungsi automatik seperti pernafasan, ia tidak terjejas.

Selepas melihat ayam tanpa kepala dalam jagaannya tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mati dalam masa terdekat, Supakadee mula tertanya-tanya apa yang akan terjadi seterusnya.

"Siapa yang akan menjaganya? Dia memerlukan penjagaan seumur hidup. Saya perlu akui ayam ini adalah pahlawan sejati dan berhati kental," katanya kepada pemberita.

Nasib baik, sami di sebuah kuil di wilayah Ratchaburi sudi untuk mengambil dan menjaga ayam tanpa kepala itu.

ayam, penggal kepala

Artikel Lain