Terkejut Tambang Uber Lebih RM6,000, Penumpang Ini Tetap Beri Pemandu 5 Bintang - Dunia | mStar

Terkejut Tambang Uber Lebih RM6,000, Penumpang Ini Tetap Beri Pemandu 5 Bintang

Kenny Bachman (kiri), -fotoBBC

SEORANG pengguna Uber terkejut dengan kadar tambang AS$1,635 (RM6,426) yang perlu dibayarnya setelah dia tertidur dan memulakan perjalanan sejauh 300 batu di tiga negeri.

Kenny Bachman membuat perjalanan tersebut dalam keadaan mabuk selepas keluar bersama rakan-rakannya di sebuah kelab di Morgantown, West Virginia.

Dia memutuskan untuk mendapatkan Uber bagi membawanya pulang ke kediaman rakannya, berhampiran kampus Universiti West Virginia yang terletak tidak jauh dari kelab dan sebaik sahaja masuk ke dalam kenderaan itu, dia terus tidak sedarkan diri.

Kira-kira lima jam kemudian, dia terjaga dan mendapati pemandu Uber telah membawanya ke rumahnya di Gloucester County, New Jersey, yang jaraknya lebih dari 300 batu.

Bachman tidak dapat mengingati tentang tempahan Uber yang dibuatnya.

Membuatkan situasi lebih teruk, dia telah menempah UberXL, yang boleh menampung hingga enam penumpang dan sudah pasti lebih mahal berbanding Uber bersaiz biasa.

"Selepas itu, saya betul-betul tak sedar apa-apa," Bachman memberitahu NJ Advance Media.

"Bila perjalanan itu berakhir dan saya tengok jumlahnya sebanyak itu saya hanya kata 'ini gila'."

Tambangnya berjumlah AS$1,635.93 (RM6,426), meliputi tambang dasar, yuran tempahan, bayaran jarak dan bayaran masa.

Kadarnya melonjak berganda-ganda kecuali bayaran tempahan, menurut NJ.com.

"Jelas sekali saya menghantar Uber...Saya tak tahu ke mana," katanya.

Dia juga mengesyaki pemandu Uber menggunakan telefonnya dan memberitahu dia juga perlu membayar duit tol kepada pemandu Uber untuk perjalanan pulang.

Bachman berkata dia telah membuat bantahan terhadap tambang Uber itu, menyatakan bahawa dia tidak pernah memasukkan alamat rumahnya sebagai destinasi, tetapi tidak berjaya.

Walau bagaimanapun, dia nampaknya masih memberi penarafan lima bintang kepada pemandu tersebut. -SkyNews

penumpang Uber , Uber mahal

Lebih Artikel

Zainuddin Maidin meninggal dunia

Enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti