suria

Ireland Dilanda Ribut Salji Paling Teruk Dalam Tempoh 36 Tahun

Suasana di Phoenix Park, Dublin, Ireland. -fotoREUTERS

DUBLIN: Ribut salji tebal yang melanda kebanyakan tempat di Ireland pada Rabu menjejaskan rutin harian dan perniagaan, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Lebih 400 penerbangan di Lapangan Terbang Dublin terpaksa dibatalkan menyebabkan beratus-ratus penumpang asing dan domestik terkandas.

Kelewatan dan pembatalan penerbangan turut dilaporkan di kawasan lain di Ireland.

Dublin dan wilayah pesisirnya di bahagian timur dan selatan Ireland, adalah kawasan paling teruk terjejas oleh ribut salji, dengan sesetengah daripadanya menerima lebih 10 sentimeter salji dalam tempoh semalaman.

Salji lebat itu menyebabkan kelewatan perkhidmatan bas, trem dan kereta api di kebanyakan kawasan, terutama Dublin yang didiami lebih sejuta penduduk.

Penutupan jalan raya, kesesakan lalu-lintas dan kemalangan telah dilaporkan di kebanyakan kawasan yang dilanda ribut salji namun tiada kemalangan maut berlaku.

Hampir semua sekolah di Dublin telah ditutup manakala premis perniagaan sama ada ditutup atau terpaksa ditutup lebih awal daripada biasa.

Perdana Menteri Ireland, Leo Varadkar, dalam satu ucapan menerusi televisyen, menggesa penduduk di kawasan dilanda ribut salju mengelak melakukan perjalanan yang tidak perlu. -Bernama

ribut salji, Dublin, salji tebal

Artikel Berikut

Artikel Lain