suria

Salji Tebal Cabaran Operasi Mencari Mayat Mangsa Nahas Pesawat Rusia

Serpihan pesawat AN-148.

MOSCOW: Operasi mencari mayat mangsa nahas pesawat Saratov Airlines An-148 yang terhempas dan mengorbankan 71 penumpang serta kru mungkin berlarutan sepanjang minggu ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Situasi Kecemasan Rusia, Vladimir Puchkov memberitahu pihak media awal pagi Isnin.

"Kerja-kerja di lokasi nahas sedang dijalankan tanpa henti," katanya.

Setakat ini, dua mayat mangsa nahas telah ditemui di kawasan berhampiran perkampungan Argunovo, kira-kira 40 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Domodedovo, di sini.

Pesawat penerbangan yang membawa 65 penumpang dan enam anak kapal itu baru beberapa minit berlepas dari Moscow ke Orsk, bandar kedua terbesar di Orenburg, wilayah bersempadan dengan Kazakhstan sebelum ia terhempas.

Tiada mangsa dilaporkan terselamat.

Selain itu, tambahnya, satu daripada perakam penerbangan telah ditemui tetapi belum dapat dipastikan sama ada ia perakam data atau suara.

"Bentuk muka bumi, kawasan yang luas serta serpihan pesawat yang berselerakan juga menyukarkan operasi mencari mayat mangsa," katanya.

Sementara itu, Presiden Valdimir Putin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat dan mengarahkan siasatan khas mencari punca nahas.

Putin dijangka bertemu Mahmud Abbas di pusat peranginan Laut Hitam dan susulan nahas itu, presiden Palestin itu akan ke bandar ini, demikian menurut Kremlin.

Mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan Rusia Maxim Sokolov memaklumkan, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mencari punca nahas pesawat Antonov An-148 itu.

Bercakap pada taklimat di Lapangan Terbang Domodedovo Moscow, Sokolov berkata tugas yang paling mendesak ketika ini adalah untuk memberi bantuan kepada waris mangsa.

"Tugas utama pasukan khas adalah logistik.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa jawatankuasa siasatan bersama dengan Jawatankuasa Penerbangan Udara Transnasional sedang menjalankan siasatan dan belum ada sebarang kesimpulan boleh dibuat," ujarnya.

Sokolov juga berkata, pihaknya sedang mengumpulkan serpihan di lokasi nahas dan sedang mencari kotak hitam bagi menetukan punca nahas.

"Sekarang, tugas kami adalah untuk menganjurkan bantuan kepada waris yang terkorban dan pada masa sama saya ingin ucapkan takziah kepada mereka yang terlibat," tambahnya lagi.

Pesawat, AN-148

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain