suria

Sungai Ciliwung Melimpah, Lebih 5,000 Penduduk Jakarta Barat Terjejas

LEBIH 5,000 penduduk sekitar tebing Sungai Ciliwung di Jakarta Timur terpaksa berdepan masalah banjir kilat sejak Isnin.

Datuk Bandar Jakarta Barat, Bambang Musyawardana berkata, paras air di kawasan seperti Bidara Cina, Cawang dan Kampung Melayu meningkat sehingga 160 sentimeter.

Sekurang-kurangnya 5,000 orang daripada 1,600 isi rumah menjadi mangsa bencara alam ini.

"Sebilangan penduduk bersetuju untuk pindah ke khemah yang disediakan di kawasan selamat," katanya.

Selain itu, Ketua Daerah Pancoran, Herry Gunara berkata, sejak Isnin, beberapa kawasan sekitar telah dinaiki air.

"Paras air meningkat sehingga 60 sentimeter (sm)," katanya kepada kompas.com.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan dalam proses untuk merangka pasukan kecemasan untuk bertindak jika situasi semakin serius.

Selain itu di Pengadegan pula, paras air meningkat sehingga 25 sm.

Hujan seharian pada Ahad juga menyebabkan Bogor di Jawa Barat dilanda banjir kilat terutama di kawasan Sungai Ciliwung.

Kawasan takungan air Katulampa di Bogor mencatatkan peningkatan paras air sehingga 220 sm sebelum naik kepada 240 sm.

Sementara itu, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nughoho berkata, lebih banyak kawasan dijangka berdepan masalah banjir kilat kerana keadaan cuaca tidak menentu.

Hujan lebat juga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di Puncak apabila berlaku tanah runtuh berdekatan Masjid Atta'awun, Widuri dan Gunung Riung apabila laluan kenderaan terhalang.-TheJakartaPost


Sungai Ciliwung, Bogor

Artikel Lain