suria

Resipi Pisang Lalok Hidangan Monyet Gurugram

PISANG berisi ubat tidur dan dadah menjadi menu yang dihidangkan kepada monyet yang mengganggu di sekitar bandar Gurugram, utara India.

Tindakan itu dilakukan kontraktor yang diupah untuk menangani masalah gangguan monyet di bandar berkenaan.

Malahan, jumlah kes penduduk digigit monyet juga meningkat hingga mendorong langkah perlindungan dilaksanakan untuk keselamatan orang ramai.

Bagaimanapun, perbuatan itu telah mengakibatkan haiwan berkenaan berdepan pelbagai masalah kesihatan, malahan ada yang maut akibat cedera selepas terjatuh dari pokok.

Dadah dalam pisang itu menyebabkan monyet berkenaan pengsan.

Sebaik haiwan itu jatuh ke tanah, monyet itu akan diikat dan dimasukkan ke dalam guni sebelum dibawa ke kawasan pergunungan Aravalli, kira-kira 692 kilometer dari Delhi.

Susulan itu, pihak majlis perbandaran Gurugram (MCG) memberi jaminan akan menyiasat kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati, ubat tidur disuntik pada pisang selain serbuk putih disyaki dadah disapu pada buah itu sebelum diberikan kepada monyet di kawasan berkenaan," kata pihak yang menerima aduan berkaitan tindakan kontraktor itu.

The Mail Today melaporkan, berdasarkan perjanjian MCG dan kontraktor terlibat, sebanyak Rs1,500 akan dibayar untuk setiap monyet yang berjaya ditangkap.

Bagaimanapun, dengan syarat kontraktor terlibat mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan.

Walaupun beberapa aduan dibuat terhadap kontraktor, Aryan Chaudhary, difahamkan syarikat itu masih menerima tender  dan terkini pada 18 Januari lalu.

Sebaik tindakan ini mendapat perhatian aktivis perlindungan haiwan, monyet yang ditangkap itu telah dibebaskan dan pemeriksaan yang dijalankan mengesahkan haiwan itu telah diberi dadah berlebihan.

Susulan tindakan MCG dan kerajaan tempatan yang melanggar hak melindungi haiwan liar dan pengambilan dadah, pihak berwajib akan meneliti perundangan untuk dikenakan terhadap kedua-duanya.




Gurugram, monkey

Artikel Sebelum

Artikel Lain