suria

Selepas Video Kontroversi, Hamilton Teman Anak Saudara Lelaki Pakai Gaun

Lewis Hamilton (tengah) memimpin dua anak saudaranya, dan salah seorangnya merupakan anak saudara lelaki (dua, kiri) yang memakai gaun watak seorang puteri dalam filem animasi. Foto Snoriax/Mega

LEWIS Hamilton membuat permohonan maaf secara terbuka selepas berkongsi sebuah video kontroversi di Instagram yang menunjukkan anak saudara lelakinya memakai gaun watak seorang puteri dalam filem animasi.

Bintang Formula Satu (F1) itu kemudian dilihat bersama keluarganya berkunjung ke Disneyland Paris pada Jumaat.

Pelumba berusia 33 tahun itu turut dilihat memimpin tangan kedua-dua anak saudara lelaki dan perempuannya ke laluan utama taman tema itu di Main Street.

Permohonan maaf itu dibuat susulan sebuah video sebelum ini menunjukkan Hamilton mengkritik anak saudaranya berpakaian seperti puteri.

Beliau berkata: "Semalam saya bermain dengan anak saudara lelaki dan menyedari kata-kata saya tidak sesuai jadi saya memadamkan 'posting' tersebut.

"Saya tidak bermaksud untuk mengguriskan hati mana-mana pihak. Saya sukakan anak saudara lelaki saya berasa bebas untuk menyatakan dirinya sebagaimana yang sepatutnya lakukan.

"Saya memohon maaf di atas tindakan saya kerana saya sedar ia sesuatu yang tidak boleh diterima oleh sesiapa, tanpa mengira dari mana anda, untuk meminggirkan atau melabelkan streotaip pada sesiapa.

"Saya sentiasa menyokong sesiapa sahaja menjalani kehidupan mereka sebagaimana yang mereka mahukan dan saya berharap agar dimaafkan di atas kesilapan menilai," katanya.

Terdahulu, menerusi sebuah video, Hamilton memberitahu kira-kira 5.7 juta pengikutnya: "Saya sangat sedih sekarang. Tengoklah anak saudara lelaki saya."

Rakaman itu kemudian menunjukkan seorang budak lelaki memakai gaun 'puteri' berwarna merah jambu dan biru.

Hamilton kemudian bertanya kepada kanak-kanak itu: "Kenapa kamu memakai gaun puteri? Adakah ini yang awak dapat untuk (hadiah) Krismas?

Sebaik sahaja anak saudara lelakinya menjawab ya, Hamilton kemudian membalas: "Kenapa kamu minta gaun puteri untuk Krismas?

Bintang sukan itu menjerit ke arah kanak-kanak itu: "Budak lelaki tak pakai gaun puteri!"

Anak saudara lelakinya kemudian menutup kedua-dua telinga dan berlalu pergi. - Mail Online

Lewis Hamilton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lelaki Ini Malukan Diri Sendiri

Artikel Lain