suria

Promosi Pelancongan Mesir Pertemukan Sultan-Jyoti

KAHERAH: Keunikan dua individu ini sememangnya terserlah dan masing-masing diiktiraf Guinness World Records sebagai manusia paling tinggi dan pendek pada 2011.

Independent melaporkan, kedua-duanya telah dipertemukan pada sesi fotografi di kawasan Piramid Giza susulan undangan Lembaga Promosi Pelancongan Mesir bagi mempromosi negara itu.

Insan istimewa ini adalah Sultan Kosen, 35, warga Turki yang memiliki ketinggian 2.46 meter (m), manakala Jyoti Amge, 24, dari India pula cuma setinggi 62.8 sentimeter.

Sultan merupakan individu pertama yang diukur agensi berkenaan dalam tempoh 20 tahun dan cuma 10 orang dalam sejarah disahkan memiliki ketinggian 2.43m.

“Saya sebenarnya tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa nama saya akan tercatat dalam buku rekod dunia sebaliknya saya masih terkejut selepas menerima pengiktirafan itu,” katanya.

Sementara itu, beberapa gambar yang dimuat naik ke internet menunjukkan Sultan dan Jyoti berpegangan tangan dan berdiri bersebelahan bagi menunjukkan perbezaan ketinggian mereka yang luar biasa di hadapan monumen bersejarah berkenaan.

Sultan dikatakan semakin tinggi disebabkan sejenis penyakit yang dikenali sebagai pituitary gigantism menyebabkan tubuhnya menghasilkan hormon pertumbuhan berlebihan, manakala Jyoti pula menghidap penyakit Achondroplasia atau kerdil.

Ketinggian Jyoti lebih rendah berbanding kanak-kanak normal berusia dua tahun. Keunikannya membolehkan dia menjadi tetamu beberapa program televisyen seperti Bigg Boss dan American Horror Story.

Pada November 2014, Sultan telah bertemu lelaki terpendek di dunia pada ketinggian 54 sentimeter, Chandra Bahadur Dangi di London.

Sultan Kosen, Jyoti, Giza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain