Tiada Plat Khas Kenderaan Dipandu Wanita Saudi - Dunia | mStar

Tiada Plat Khas Kenderaan Dipandu Wanita Saudi

RIYADH: Selepas pengumuman membenarkan wanita Arab Saudi memandu beberapa bulan lalu, terkini golongan itu akan dibenarkan memandu trak dan menunggang motosikal pula.

Susulan itu, Direktorat Trafik Umum Arab Saudi akan memberikan butiran peraturan baharu berhubung kebenaran itu menerusi Agensi Akhbar Saudi pada Jumaat depan.

"Ya, kami akan membenarkan wanita untuk menunggang motosikal dan memandu trak. Undang-undang memandu adalah sama bagi lelaki dan wanita," katanya.

Pada September, Raja Salman mengeluarkan dekri yang menamatkan larangan memandu terhadap golongan wanita negara itu.

Katanya, tidak akan ada nombor pendaftaran khas untuk kenderaan yang dipandu oleh wanita.

Bagaimanapun, wanita yang terbabit dalam kemalangan jalan raya atau terbabit dengan salah laku akan dikendalikan oleh pusat khas yang ditubuhkan dan diselia oleh wanita.

Arab Saudi adalah satu-satunya negara di dunia yang mengenakan larangan kepada wanita untuk memandu dan ia dilihat sebagai simbol penindasan oleh dunia.

Saudi , Raja Salman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Wang Gaji Ibu 'Licin' Gara-Gara FIFA 18

Lebih Artikel

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta