suria

Berdepan Penjara Rakam Video, Gambar Lucah 33 Lelaki

Gambar hiasan.

SINGAPURA: Seorang eksekutif jualan merakamkan gambar dan video lucah membabitkan 33 lelaki di tandas awam tanpa pengetahuan mangsa.

Sebahagian gambar yang dirakamkan Colin Teo Han Jern, 27, menunjukkan mangsa sedang melakukan perbuatan seksual, manakala yang lain sedang membuang air besar.

Han Jern yang merupakan rakyat Malaysia dijatuhkan hukuman penjara 10 minggu dan denda $4,000 (RM12,080) pada Rabu selepas mengaku bersalah pada bulan lalu terhadap lima pertuduhan membuat filem lucah, empat pertuduhan merupakan gangguan awam dan satu pertuduhan kerana memiliki filem lucah.

Sebanyak 30 pertuduhan lain untuk kesalahan yang sama diambil kira semasa sabitan.

Chua Eng Hui, peguam yang mewakili Han Jern meminta Hakim Kenneth Yap supaya meringankan hukuman kepada penjara lima minggu dan denda.

Pada Rabu, Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Poon memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mungkin membuat rayuan terhadap hukuman itu dan memohon Han Jern supaya tidak dihantar ke penjara buat sementara waktu.

Hakim membenarkan permohonan itu dan Han Jern kini dibebaskan dengan jaminan $5,000 (RM15,100). 

Pihak pendakwaan akan memberi pengesahan mengenai keputusannya untuk memfailkan permohonan pada 13 Disember ini. 

Han Jern juga diarahkan untuk hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.

Mereka yang disabitkan bersalah kerana membuat video lucah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda antara $20,000 dan $40,000 untuk setiap pertuduhan. - The Straits Times/Asia News Network

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain