suria

Taliban Menyamar Wanita Serang Kolej

PESHAWAR: Sekumpulan penyerang bersenjata telah  menyamar dengan memakai burqa dan menyerbu sebuah kolej di sini dan mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang serta mencederakan 35 yang lain.

Polis dan pasukan tentera yang mengepung Institut Latihan Pertanian di barat laut bandar ini  mengambil masa hampir dua jam untuk membunuh semua penyerang.

Jurucakap Taliban Pakistan, Mohammad Khorasani, mengaku kumpulannya bertanggungjawab atas serangan di kolej pertanian itu.

Katanya, sasaran utama kumpulan itu adalah kediaman milik agensi Perkhidmatan Perisikan Dalaman tentera.

Ketua Polis Peshawar, Tahir Khan berkata, penyerang tiba di kampus terbabit menggunakan beca automatik dengan berpakaian burqa.

"Mereka menembak dan mencederakan pengawal keselamatan sebelum berjaya memasuki kampus terbabit," katanya.

Sementara itu, seorang penuntut yang cedera, Ahteshan ul-Haq berkata, kampus institut itu lazimnya dihuni hampir 400 penuntut lain namun ramai memilih untuk pulang ke kampung berikutan cuti hujung minggu agak panjang kali ini.

"Kami sedang tidur apabila terdengar bunyi tembakan. Saya terjaga dan sekelip mata saja kelihatan ramai yang bertempiaran lari," katanya. - Reuters

Tahir Khan, taliban

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain