suria

26 Maut Serangan Tembakan Dalam Gereja

Pasukan penyiasat berada di lokasi serangan tembakan yang berlaku di Gereja First Baptist pada Ahad. - AP

SUTHERLAND SPRINGS: Seorang lelaki bersenjatakan senapang menyebabkan 26 orang maut dan 20 lagi cedera dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah gereja di tenggara Texas, Amerika Syarikat pada Ahad.

Tragedi itu merupakan siri tembakan beramai-ramai terbaharu yang menjadi ikutan di negara ini, kata pihak berkuasa.

Suspek yang bersendirian itu memakai pakaian taktikal serba hitam dan jaket kalis peluru serta membawa selaras senapang ketika melakukan serangan keganasan itu.

Lelaki berkulit putih itu memasuki Gereja First Baptist di Sutherland Springs di daerah Wilson, kira-kira 65 kilometer (km) di timur San Antonio.

Mangsa yang terlibat berusia antara lima hingga 72 tahun, kata pegawai berkuasa undang-undang pada sebuah sidang akhbar.

Selepas insiden itu, suspek yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an itu telah ditembak oleh seorang penduduk tempatan.

Carrie Matula merangkul seorang wanita selepas tragedi tembakan berlaku. - AP

Dia kemudiannya melarikan diri menggunakan kenderaan sendiri dan ditemukan meninggal dunia di daerah jiran, Guadalupe.

Bagaimanapun, kematian suspek belum dipastikan sama ada disebabkan oleh tembakan itu atau membunuh diri sendiri, kata pihak berkuasa.

"Kami sedang mengendalikan kes tembakan terbesar dalam sejarah negeri ini," kata Gabenor Texas, Greg Abbott pada sidang akhbar.

"Tragedi ini bertambah buruk kerana ia berlaku dalam sebuah gereja, tempat untuk penganut menyembah Tuhan di mana mereka yang tidak bersalah telah ditembak mati."

Identiti suspek dan motif pembunuhan tidak didedahkan oleh pihak berkuasa.

Namun, menurut laporan New York Times dan beberapa media lain, pegawai berkuasa undang-undang yang enggan dikenali berkata bahawa suspek ialah Devin P. Kelley yang berkulit putih dan berusia 26 tahun.

Lisa Cavazos ditenangkan oleh Abbott ketika upacara hidupkan lilin bagi memperingati mangsa yang terkorban. - AP

Sementara itu, anak perempuan paderi Frank Pomeroy yang berusia 14 tahun maut, kata anggota keluarga kepada stesen televisyen.

Seorang pesara tentera, Jeff Forresy, 36, yang tinggal hanya beberapa blok dari gereja tersebut berkata, bunyi tembakan seperti kaliber tinggi dan tembakan separa automatik tersebut membuatkan dirinya mengimbau kembali pengalaman terlibat dalam empat kali pertempuran ketika berkhidmat untuk tentera laut.

"Saya berada di anjung ketika saya terdengar 10 das tembakan dan telinga saya mula berdering," kata Forrest.

Kejadian tembakan itu berlaku beberapa minggu selepas seorang penembak tepat membunuh seramai 58 orang di sebuah konsert terbuka di Las Vegas, insiden tembakan yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS.

Presiden Donald Trump berkata, beliau memantau situasi tersebut ketika di Jepun sempena lawatan selama 12 hari ke Asia. - Reuters

serangan tembakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain