suria

Paddock Buat Kiraan Sebelum Lepaskan Tembakan

WASHINGTON: Nota yang ditemui di dalam bilik hotel penyerang Las Vegas, Stpehen Paddock, menunjukkan pengiraan tulisan tangan untuk memastikan tembakan tepat pada sasaran, selain jumlah mangsa.

Saluran CBS melaporkan, nota itu ditemui pegawai polis yang menyerbu bilik Paddock di tingkat 32 hotel kasino Mandalay Bay malam Ahad lalu yang menyebabkan 58 maut dan hampir 500 lagi cedera.

Dalam temubual yang disiarkan, Pegawai David Newton dari unit K-9 Jabatan Polis Las Vegas, memberitahu program '60 Minuter', beliau menemui nota Paddock itu di atas meja berhampiran tempat dia melepaskan tembakan.

"Dia menulis jarak, ketinggian dan tahap kejatuhan peluru ke atas orang ramai.

"Dia juga mencari di mana dia patut berada untuk menembak semua sasarannya dari situ," kata Newton.

Newton menambah, memecah masuk ke dalam bilik dengan bahan letupan sebelum menemui mayat Paddock dan senjata adalah sesuatu 'seperti dalam filem'.

"Ia amat menakutkan," katanya.

Bilik hotel Paddock memberikan dia lokasi tepat untuk melancarkan serangan ke atas lebih 20,000 pengunjung konsert muzik country, kira-kira 365 meter dari situ.

Nota itu bagaimanapun belum memberi maklumat mengenai motif Paddock selepas seminggu kejadian tembakan paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat itu.



Paddock

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Spider Women' Luo

Artikel Lain