suria

Gempa, Katia Ragut 67 Nyawa Penduduk Mexico

JUCHITAN DE ZARAGOZA: Tanah perkuburan sekitar Mexico menjadi lokasi paling ramai dikunjungi sejak Khamis lalu apabila satu demi satu mangsa gempa bumi akibat taufan Katia disemadikan di situ.

Setakat ini 67 penduduk terkorban sama ada terperangkap dalam runtuhan bangunan atau tertimbus dalam lumpur.

Paulo Cesar Escamillia Matus dan keluarganya turut serta dalam perarakan mengiringi mendiang ibunya, Reynalda Matus Martinez.

Wanita berusia 64 tahun itu maut akibat dihempap runtuhan bangunan ketika bertugas di farmasi pada Khamis malam.

"Runtuhan dari tingkat dua menghempap ibu saya," kata anak lelakinya.

Pihak berkuasa menjangkakan jumlah kematian akan meningkat, selepas lebih banyak mayat ditemui di Oaxaca dan Chiapas.

Setakat ini, penduduk di sini terpaksa berkhemah di jalanan kerana bimbang berlakunya gempa susulan.

Setakat ini, Perkhidmatan Seismologikal Mexico sudah melaporkan sebanyak 721 gempa susulan.

Dalam pada itu, Presiden Enrique Pena Nieto menyifatkan gempa bumi yang berlaku adalah yang terburuk dalam tempoh 100 tahun, malah lebih teruk berbanding gempa bumi pada 1985 yang mengorbankan lebih 10,000 mangsa di Mexico City.

Gempa bumi baru-baru ini dicatatkan berukuran 8.2 magnitud, berbanding gempa bumi pada 1985 yang direkodkan pada kekuatan 8.1 magnitud oleh Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Ia dilaporkan berpusat di Lautan Pasifik, iaitu kira-kira 100 kilometer di luar bandar Tonala di Chiapas. - AFP



Katia, Mexico

Artikel Berikut

Tutup Taman Tema, Zoo Akibat Irma

Artikel Lain