suria

Lewat Amaran Taufan, Agensi Cuaca Macau Disiasat Rasuah

MACAU: Kelewatan biro kaji cuaca di sini mengeluarkan amaran taufan Hato menyebabkan badan antirasuahnya telah bertindak membuka kertas siasatan.

Laporan menyebut, cara pengendalian biro berkenaan mempunyai kaitan dengan industri perjudian di bandar ini.

Taufan Hato telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 nyawa melayang, sekali gus telah mendorong peletakan jawatan ketua biro kaji cuaca Macau, selain permohonan maaf oleh pemimpin bandar itu dan pengerahan Tentera Pembebasan Rakyat di Macau untuk turut menyertai usaha bantuan serta menyelamat.

Menurut laporan, industri perjudian memainkan peranan penting menyebabkan amaran taufan lewat dikeluarkan minggu lalu dalam ribut dianggap yang terkuat dalam tempoh 53 tahun melanda Macau.

Suruhanjaya Membasmi Rasuah Macau (CCAC) Isnin lalu berkata, ia menerima banyak aduan berhubung amaran taufan oleh Biro Meteorologi dan Geofizik Macau.

Menurut CCAC dalam kenyataannya, siasatan itu membabitkan proses amaran dan pengurusan dalaman biro berkenaan termasuk bekas ketuanya, Fong Soi-kun, yang meletak jawatan Khamis lalu.

Katanya, aduan sama diterima tahun lalu ketika Taufan Nida melanda apabila tiada amaran berkurung dikeluarkan selepas ribut mencapai tahap T8 yang mewajibkannya.

“Tidak syak lagi, pengaruh kasino memainkan peranan terhadap orang yang bertanggungjawab membuat amaran ribut itu,” kata sumber yang tidak didedahkan kepada akhbar South China Morning Post sambil menambah sebaik isyarat T8 itu dibangkitkan, kasino perlu membayar semua kakitangan lebih masa.- AFP


Macau, Hato

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain