suria

Darurat Akibat Ribut Di NZ

WELLINGTON: Susulan ribut kuat yang mengakibatkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dan lebuh raya terhalang, Christchurch dan dua lagi bandar di New Zealand diisytiharkan dalam keadaan darurat.

Pengumuman itu dibuat selepas Sungai Heathcote melimpah dari tebing dan membanjiri selatan bandar raya berkenaan pagi Sabtu.

Situasi cemas itu menyebabkan bantuan pihak tentera dipanggil untuk membantu menyediakan perkhidmatan kecemasan.

Pasukan Pertahanan New Zealand menggerakkan askar tambahan tengah malam Jumaat, menjadikan sekurang-kurangnya 12 trak dan 140 anggota tentera memberi khidmat bantuan kecemasan serta menyelamatkan penduduk yang terkandas dalam banjir.

Ia menjadi kawasan keempat selepas cuaca buruk yang melanda negara itu sejak 24 jam lalu menyebabkan banjir.

Laporan media tempatan menyatakan kira-kira 1,500 penduduk di beberapa penempatan di utara diarah meninggalkan kediaman apabila paras air meningkat tengah malam tadi, manakala lebih 100 rumah dikosongkan di luar Dunedin, bandar raya kedua terbesar di New Zealand.

Perkhidmatan kecemasan kini memberi tumpuan kepada Sungai Taieri berhampiran Dunedin, selepas ramalan ia akan meningkat kepada paras tertinggi dalam rekod pada Sabtu.

Selain Christchurch dan Dunedin, darurat turut diisytiharkan di Timaru dan Otago.

Sementara it, Perdana Menteri, Bill English, menggunakan media sosial untuk menasihatkan penduduk dan semua pihak berwajib sepanjang tempoh darurat itu. - Reuters

Sungai Heathcote, New Zealand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anak Lembu Jelmaan Suami

Artikel Lain