suria

111 Korban Tanah Runtuh Chittagong

CHITTAGONG: Jumlah mangsa terkorban akibat tanah runtuh di tenggara Bangladesh meningkat kepada 111 orang.

Menurut pihak berkuasa, kebanyakan mangsa maut akibat ditimbus kerana sedang tidur ketika kejadian berlaku, termasuk tiga kanak-kanak daripada satu keluarga.

Insiden itu berlaku beberapa minggu selepas taufan melanda wilayah itu dan memusnahkan ribuan khemah pelarian Rohingya.

Sementara itu, polis menjangkakan jumlah kematian meningkat, sebaik sahaja kumpulan penyelamat tiba di kawasan terpencil di Bukit Chittagong, yang terputus hubungan dan talian telefon.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana, Reaz Ahmad berkata, sekurang-kurangnya 75 orang disahkan maut di daerah Rangamati, yang terjejas teruk dalam insiden tanah runtuh itu.

"Jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan kebanyakan kawasan masih terputus hubungan," katanya.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 30 mangsa maut di Chittagong dan baki enam mangsa di Bandarban, selain 15 orang lagi dilaporkan masih hilang, dikhuatiri tertimbus dalam lumpur.

"Pihak berkuasa sudah membuka 18 pusat perlindungan di daerah yang terjejas teruk, manakala 4,500 penduduk sudah dipindahkan," kata Menteri Bantuan dan Pengurusan Bencana, Mofazzal Hossain Chowdhury Maya kepada pemberita.

Di DHAKA, tempat kesesakan jalan raya begitu teruk akibat hujan lebat, sebuah feri karam di Sungai Buriganga petang Isnin, bersama-sama 100 penumpang.

Menurut laporan, 10 orang hilang berikutan kejadian itu.

Bagaimanapun, polis berkata, semua penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

Chittagong, Rohingya

Artikel Lain