suria

100 Hari: Trump Akui Beban Bergelar Presiden AS

WASHINGTON: Hampir 100 hari bergelar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menunjukkan tanda-tanda merasai beban dalam melaksanakan tugasnya.

“Saya ialah Presiden yang berbeza,” katanya.

Beliau diwawancara selama sejam bersama agensi berita The Associated Press di Rumah Putih sempena 100 hari pemerintahannya.

Kata Trump, tugasnya sebagai Presiden memerlukan “hati”, tidak seperti menguruskan perniagaan.

Trump yang sebelum ini berkempen untuk melakukan perubahan segera secara tidak langsung mengakui bahawa perubahan yang beliau inginkan tidak datang dengan begitu cepat dan mudah.

Walaupun masih mengekalkan keyakinan seperti seorang ahli perniagaan, Trump mengakui beliau tidak dapat memenuhi matlamat yang ditetapkan sepanjang 100 hari menduduki White House.

“Ia boleh dianggap sebagai satu halangan tetapi bukan perkara serius.

“Presiden sebelum ini yang meletakkan konsep pelan 100 hari ini,” katanya.

Masa 100 hari hanyalah sebahagian kecil daripada tempoh pemerintahan Presiden, dan tiada Presiden yang mampu menyamai pencapaian Franklin D. Roosevelt, pemimpin AS yang menetapkan standard tersebut untuk dihakimi, tambah Trump.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan hanya sekitar 40 peratus rakyat AS kini menyokong beliau.

Dua perintah eksekutif Trump yang menghalang perjalanan rakyat dari beberapa negara berpenduduk majoriti Islam telah dipertikaikan dan disekat oleh hakim-hakim persekutuan.

Namun, beliau mengakui bahawa menjadi komander AS membawa bersamanya tanggungjawab kemanusiaan yang tidak dipedulikan semasa beliau menguruskan perniagaan.

“Sebagai contoh, melancarkan 59 peluru berpandu Tomahawk untuk menyerang Syria,” kata Trump mengenai keputusannya menyerang pangkalan udara Syria sebagai membalas serangan kimia rejim Presiden Bashar al-Assad.

“Saya berkata kepada diri sendiri, ini adalah lebih daripada sekadar 59 peluru berpandu. Ini melibatkan kematian kerana akan ada orang yang akan terbunuh. Ini melibatkan risiko.

“Di sini, hampir semua yang anda lakukan dalam kerajaan melibatkan hati. Sebaliknya dalam perniagaan, kebanyakan perkara tidak melibatkan soal perasaan,” kata Trump. – AP


Presiden, Trump

Artikel Sebelum

Kes Duterte Ke ICC

Artikel Berikut

Tujuh Maut, Seorang Cedera

Artikel Lain