suria

'Saya Ada Hak Bersamamu, Ayah'

SAFAA menitiskan air mata ketika membacakan surat untuk ayahnya (gambar kecil). - Ma'an News Agency

RAMALLAH: Safaa baru berusia sebulan ketika ayahnya, Abdullah Barghouthi dijatuhkan hukuman penjara selama 67 tahun di Israel.

Kini selepas 14 tahun, Safaa tanpa berselindung meluahkan rasa sayunya menerusi sepucuk surat yang mahu diutuskan kepada ayahnya yang menyertai mogok lapar bersama ratusan tahanan Palestin lain sejak lapan hari lalu.

Surat tersebut dibacanya dalam satu acara anjuran sekolahnya di Ramallah, Tebing Barat.

"Saya ada hak untuk berjumpa dan hidup bersamamu ayah.

"Ketawa anak-anak kepada tahanan bercampur dengan air mata, namun mereka masih kuat berbanding khabar angin diberitahu oleh tentera penjajah, lebih kuat dari penjajah yang cuba memecahkan kehendak tahanan dan lebih kuat berbanding semua sel kurungan.

"Ayah, kamu adalah sumber kebanggaan kepada kami.

"Saya sangat sayangkan ayah dan kamu akan kekal di dalam minda dan fikiran setiap hari dan setiap masa, terus cekal dan  insya-Allah kamu akan bersama kami tahun hadapan.

"Ini adalah hak saya untuk bertemu kamu dan tinggal bersama," ulangnya lagi dalam surat itu.

"Saya mengulangi perkataan ayah kerana saya tidak dapat menyebutnya dengan kerap," katanya seperti dilaporkan portal Ma'an News Agency.

Surat yang dibaca Safaa adalah sebahagian daripada acara yang dianjurkan oleh sekolah tinggi untuk kanak-kanak perempuan Qassim al Rami di Ramallah.

Barghouthi dikenakan hukuman penjara 67 tahun penjara apabila ditahan pada Mac 2003, hukuman tertinggi yang pernah dikenakan oleh mahkamah tentera Israel.

Barghouthi, seorang pemimpin Hamas didapati bersalah di mahkamah Israel kerana terlibat dalam beberapa serangan di Israel dan kini melancarkan mogok lapar ratusan rakyat Palestin lain yang ditahan di penjara Israel.

Tahanan Palestin dari seluruh spektrum politik menyatakan komitmen untuk melaksanakan mogok dengan jawatankuasa media daripada "Kebebasan dan Maruah" mengaggarkan kira-kira 1,500 tahanan tidak mengambil makanan.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada hari Sabtu oleh pertubuhan-pertubuhan Palestin, pihak berkuasa Israel telah menahan kira-kira satu juta rakyat Palestin sejak penubuhan negara Israel pada tahun 1948 dan pendudukannya di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza pada tahun 1967.

Sementara itu, pertubuhan hak-hak banduan Addameer, ada 6,300 rakyat Palestin dalam tahanan Israel pada Mac.

Palestin

Artikel Lain