suria

Tipu: Bekas Penuntut Universiti Trump Terima RM110 Juta

NEW YORK: Hakim mahkamah di California meluluskan persetujuan bernilai AS$25 juta (RM110 juta) antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan bekas pelajar Universiti Trump atas tuduhan menipu.

AFP turut meneliti dokumen keputusan oleh Hakim Gonzalo Curiel yang menamatkan tiga tuntutan mahkamah terhadap Universiti Trump yang menjejaskan kira-kira 4,000 pihak yang menuntut. Tuntutan itu dilancarkan di California pada 2010 oleh bekas pelajar yang mendakwa mereka diperdaya oleh program pemasaran palsu.

Saman itu kemudiannya dikemukakan oleh Peguam Negara New York, Eric Schneiderman pada 2013.

"Mangsa sudah menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan pampasan, sambil Trump enggan menyelesaikan kes itu. "Ia memaksa kami terus berjuang dan akhirnya beliau menyerah kalah," kata Schneiderman dalam satu kenyataan.

Difahamkan, pelajar membayar sehingga AS$35,000 (RM154,615) untuk memasuki Universiti Trump yang beroperasi dari 2005 hingga 2011, untuk menimba ilmu dalam bidang hartanah hasil bimbingan pakar pilihan hartawan dari Manhattan itu.

Trump berusaha membuktikan dirinya tidak bersalah dalam kes itu, tetapi akhirnya mengalah selepas memenangi Pilihan Raya Presiden pada November lalu.

Beliau juga bersetuju membayar pampasan bagi mengelak menanggung malu jika kes itu berpanjangan di mahkamah.

Berkaitan jumlah penyelesaian tuntutan, sebanyak AS$21 juta (RM93 juta) akan dibayar balik kepada plantif di California dan selebihnya akan diserahkan kepada Peguam Negara New York untuk diserahkan kepada lain-lain plantif dalam kes itu. - AFP






Universiti Trump, California

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain