suria

Rebus Telur Dapat Berlian

LONDON: Seorang wanita di England yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, dianggap bertuah apabila menemukan sebutir berlian dengan cara paling yang tidak disangka.

Sally Thomson, 39, seperti dilaporkan portal Mirror.uk, hampir menelan berlian itu apabila memakan sebiji telur rebus ketika bersarapan di rumahnya baru-baru ini.

Pada awalnya, dia merasakan sesuatu dalam mulutnya ketika mengunyah telur tersebut tetapi terkejut apabila mendapat benda keras itu merupakan batu yang menyerupai berlian.

Sally yang akan berkahwin dengan tunangnya, Steven Warwick pada Mei ini, berasa cukup gembira dengan penemuan itu apatah lagi menjelang hari bahagianya kira-kira dua bulan lagi.

"Saya cuba menurunkan berat badan sebelum hari perkahwinan dan hanya memakan telur rebus setiap kali bersarapan.

"Pada mulanya saya berasa pelik kerana terfikir daripada mana berlian itu muncul.

"Kemudian baru saya sedar, ia datang daripada telur berkenaan," katanya.

Sally turut berkongsi tentang penemuan berlian itu menerusi laman sosial Facebook dan rata-rata netizen menganggapnya sebagai wanita bertuah.

Namun ada penternak ayam mendakwa kemungkinan ayam yang mengeluarkan telur tersebut termakan berlian itu secara tidak sengaja.

Sally membawa berlian itu ke kedai emas tempatan dan mendapati ia bukan berlian sebenar tetapi merupakan Cubic Zirconia, batu kristal yang menyerupai berlian.

Berat batu itu tidak dapat dipastikan tetapi berdasarkan harga pasaran semasa, dua gram Cubic Zirconia berharga kira-kira AS$30 (RM120) dan boleh digunakan sebagai hiasan untuk cincin perkahwinan.


Sally Thomson, Telur, Berlian

Artikel Lain