suria

'Imbas Muka Dulu, Baru Dapat Tisu'

Alat pengimbas muka yang dipasang di Temple of Heaven di Beijing bagi mengelakkan kes kecurian tisu tandas. -Ihsan Shanghaiist

BEIJING: Pihak berkuasa di China terpaksa menggunakan teknologi yang canggih semata-mata mahu membanteras aktiviti kecurian tisu tandas yang semakin berleluasa di ibu negara itu.

Menurut laporan Oddity Central, alat pengimbas muka berteknologi tinggi dipasang di tandas awam di Temple of Heaven, satu daripada tempat tarikan pelancong di Beijing bagi mengekang kes kecurian tisu tandas.

Jelas laporan itu, langkah tersebut terpaksa diambil selepas pihak berkuasa mengalami kerugian kerana perlu membeli beribu-ribu tisu tandas pada setiap bulan.

Kini, pengguna tandas perlu mengimbas muka terlebih dahulu sebelum dibenarkan menarik tisu tandas berukuran 60 sentimeter setiap seorang dan data berkenaan akan disimpan dalam mesin itu buat sementara.


Malah pengguna hanya boleh menggunakan semula tisu tandas selepas sembilan minit bagi mengelakkan pembaziran.

Langkah terbabit dilaksanakan selepas seorang wartawan Beijing Evening News melakukan penyiasatan yang mendedahkan kebanyakan pengunjung ke kuil itu menggunakan tandas bertaraf empat bintang tesebut berulang kali semata-mata mahu mencuri tisu tandas sebanyak mungkin.

Bagaimanapun, alat pengimbas itu hanya dipasang dalam tempoh percubaan selama dua minggu untuk mendapatkan maklum balas daripada orang awam.

Jika tindakan itu menerima keputusan negatif, penggunaan alat tersebut akan dihentikan serta-merta.


Tetapi jika alat canggih tersebut diterima baik oleh orang ramai, ia akan dipasang ke seluruh tandas di Beijing mahu pun bandar-bandar besar China yang lain.

Setakat ini, pelbagai reaksi diterima tentang alat berteknologi tinggi itu terutamanya melibatkan aduan bahawa panjang 60 sentimeter tisu yang diberikan tidak mencukupi.

Namun ramai juga pihak memuji langkah tersebut dan berharap dapat dilaksanakan di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain