suria

Rakyat Iran Kembali Ke Tanah Suci Musim Ini

RIYADH: Rakyat Iran akan menunaikan ibadat Haji musim ini selepas tidak berbuat demikian tahun lalu berikutan ketegangan kedua-dua seteru di rantau Teluk itu.

Perkara itu dimaklumkan kerajaan Arab Saudi pada Jumaat.

"Kementerian Haji dan pertubuhan Iran sudah melengkapkan semua langkah perlu untuk memastikan rakyat negara itu dapat menunaikan Haji pada tahun Hijrah 1438 menurut prosedur yang diikuti semua negara Islam," kata Agensi Saudi Press. 

Tahun lalu adalah insiden pertama dalam masa tiga dekad apabila kira-kira 60,000 jemaah Haji Iran tidak menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ia berlaku selepas kedua-dua negara tidak mencapai persetujuan mengenai isu keselamatan dan logistik.

Riyadh serta Tehran tidak mempunyai hubungan diplomatik dan ketegangan kedua-dua negara berterusan apabila Arab Saudi berulang kali menuduh Iran menyemarakkan konflik di rantau itu dengan menyokong pergerakan bersenjata Syiah di Syria, Iraq, Yaman dan Bahrain.

Bagaimanapun, Kementerian Haji Arab Saudi, hari ini berkata, negara itu menyambut semua jemaah daripada pelbagai negara dan latar belakang. - AFP

Iran, Arab Saudi

Artikel Lain