suria

Denda RM430 Jika Bazir Sperma

NEW YORK: Seorang ahli politik Texas mengemukakan usul untuk mengenakan denda AS$100 (RM430) terhadap lelaki yang melakukan pembaziran dengan membuang sperma.

Ahli Parti Demokrat, Jessica Farrar (gambar) menerusi usul 'Akta Hak Yang Perlu Diketahui Lelaki, bertujuan menjelaskan tentang perasaan wanita yang terjejas akibat penguatkuasaan undang-undang di Texas terutamanya membabitkan isu pengguguran.

Menurut Farrar, usul undang-undang itu melarang golongan lelaki melakukan onani kerana tindakan tersebut menyebabkan pembaziran sperma dan melindungi bayi yang belum dilahirkan.

"Ramai memikirkan akta ini adalah lucu tetapi mereka tidak fikir kekangan yang dihadapi oleh wanita di Texas sehingga sukar mendapatkan perkhidmatan perubatan disebabkan undang-undang tertentu.

"Kaum wanita perlu menjalani pelbagai jenis ujian sebelum dibenarkan menggugurkan bayi dan saya mahu golongan lelaki menjalani proses yang sama," katanya.

Texas mempunyai undang-undang paling ketat membabitkan pengguguran bayi disebabkan pegangan penganut Kristian yang kuat.

Bermula 2011, wanita perlu menjalani ujian ultrabunyi kira-kira 25 jam sebelum melakukan pengguguran, prosedur yang dianggap mengarut oleh Farrar.

Bagaimanapun beliau sedar usul itu tidak akan diwartakan sebagai undang-undang kerana bakal mendapat tentangan yang kuat daripada majoriti ahli Parti Republikan yang menguasai Texas.

Jessica Farrar, Sperma, Onani

Artikel Lain