suria

AS Kerah Ratusan Tentera Marin Ke Syria

GAMBAR fail bertarikh 16 Februari 2017 menunjukkan askar Marin AS yang menyertai latihan Cobra Gold 2017 di wilayah Chonburi, Thailand. - REUTERS

DAMSYIK: Amerika Syarikat mengerahkan beratus-ratus tentera marin yang dilengkapi senjata berat ke Syria sebagai sebahagian usaha memerangi militan Daesh yang berkubu di wilayah Raqqa.

Antara senjata yang digunakan termasuk meriam Howitzer yang ditempatkan di kedudukan strategik bagi menyokong pergerakan tentera Syria menggempur kubu kuat militan Daesh.

Sumber pertahanan AS yang mengesahkan perkara itu berkata, kerahan tentera  itu hanya sementara tetapi dilihat sebagai petunjuk awal bahawa White House memberi kebebasan buat Pentagon membuat keputusan untuk memerangi kumpulan militan berkenaan.

Selain Syria, AS juga sedia menghantar kira-kira 1,000 tentera ke Kuwait untuk menyertai kempen memerangi militan Daesh jika bantuan mereka diperlukan.

Mengikut had yang ditetapkan oleh kerajaan AS ketika dipimpin oleh bekas Presiden Barack Obama, hanya 500 tentera sahaja boleh dikerahkan ke Syria termasuk askar yang ditempatkan bagi tempoh sementara.

Antara tugas yang perlu dilaksanakan oleh tentera AS adalah melatih dan membantu Pasukan Demokratik Syria (SDF), sebuah kumpulan pejuang tempatan yang menggabungkan etnik Kurdish dan Arab.

Tentera SDF sebelum ini membuktikan kemampuan mereka menawan semula kawasan yang dikuasai militan Daesh, sekali gus membantu usaha AS memerangi kumpulan pelampau itu di Syria.

Sementara itu, sumber pertahanan AS berkata, pertempuran untuk merampas semula Raqqa dijangka sengit dan sukar seperti di Mosul, Iraq.

Syria, AS, Daesh, Raqqa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain