suria

Trump Langgar Tradisi, Enggan Hadir Majlis Wartawan Rumah Putih

Tindakan Trump melarang media perdana AS menghadiri taklimat di Rumah Putih menimbulkan kemarahan ramai.

WASHINGTON: Sehari selepas menghalang beberapa agensi berita memasuki Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertindak untuk tidak menghadiri jamuan makan malam tahunan bersama wartawan.

Keputusan itu melanggar tradisi yang selama ini melihat pemimpin tertinggi negara itu menjadi tetamu kehormat dalam majlis pengamal media serta selebriti.

“Saya tidak akan menghadiri Majlis Makan Malam Persatuan Wartawan Rumah Putih (WHCA) tahun ini. Tolong sampaikan ucapan salam buat semua dan semoga majlis malam itu hebat!” tulis Trump di Twitternya.

Persatuan Wartawan Rumah Putih yang menganjurkan majlis makan malam tahunan sejak 1921 untuk mengumpul dana bagi biasiswa kewartawanan berkata, mereka tetap akan meneruskan majlis itu seperti dirancang pada 29 April depan.

“Makan malam itu adalah acara yang sejak dulu meraikan hak kebebasan akhbar dan peranan penting media berita bebas di dalam pentadbiran republik yang sihat,” kata Presiden WHCA, Jeff Mason di Twitternya.

Sepanjang kempennya untuk pilihan raya Presiden, Trump mengkritik media arus perdana yang lantang membantah pencalonannya.

Malahan, sejak dilantik Trump juga semakin kuat menuduh pihak akhbar menghasilkan laporan berat sebelah terhadapnya.

Pengumuman pembatalan Trump itu sehari selepas Rumah Putih mencetuskan kemarahan dengan menghalang wartawan menghadiri taklimat kepada beberapa media utama AS, termasuk CNN dan New York Times.

Hanya media kecil yang memberi liputan menyokong pentadbiran Trump seperti Breitbart dam Rangkaian Berita One America dibenarkan menghadiri taklimat oleh jurucakap Sean Spicer itu.-AFP




Trump, Rumah Putih, WHCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bandung Diserang Pengganas

Artikel Lain