suria

Rasuah: Jutawan Samsung Ditahan

MAHKAMAH Korea Selatan membenarkan penahanan pewaris syarikat konglomerat Samsung berhubung skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan keluarga terkaya di negara itu.

Mahkamah Daerah Seoul memutuskan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Lee Jae-yong, 48, Naib Pengerusi Samsung Electronic dan satu-satunya anak lelaki Pengerusi Samsung, Lee Kun-hee.

Penahanan jutawan itu tentu mengejutkan komuniti perniagaan, bagaimanapun sebaliknya bagi pesaingnya.

Ia dianggap satu ujian untuk sistem kehakiman negara itu kerana sebelum ini ia lebih banyak memihak kepada golongan elit walaupun terlibat dalam jenayah kolar putih susulan sumbangan syarikat kepada ekonomi negara.

Mahkamah berkenaan memberitahu, bukti tambahan yang diperoleh menunjukkan adanya alasan kukuh untuk menahan Jae-yong.

Mengikut undang-undang negara itu, Jae-yong boleh ditahan sehingga 20 hari untuk siasatan lanjut sebelum tindakan lanjut dikenakan.

Mahkamah sama bagaimanapun menolak permohohan pendakwa raya untuk menahan Park Sang-jin, Presiden Samsung Electronic.

Ketika mahkamah bersidang selama lebih tujuh jam pada Khamis, Jae-yong berada di pusat tahanan dekat Seoul.

Susulan keputusan mahkamah itu, Jae-yong ditahan, manakala Sang-jin dibebaskan.

Media tempatan melaporkan, Jae-yong menjalani penahanan bersendirian.

Sementara itu, Samsung dalam kenyataannya memaklumkan syarikat itu akan tetap mempertahankan diri di mahkamah.

Mengikut fakta kes, Jae-yong didakwa memberi rasuah berjumlah $36 juta kepada Presiden Park Geun-hye dan rakan karibnya, Choi Soon-sil untuk memastikan peralihan kuasa syarikat berjalan lancar.

Siasatan lain turut melibatkan penyalahgunaan dana syarikat, menyembunyi aset di luar negara dan bercakap bohong ketika sidang Parlimen walaupun telah mengangkat sumpah.-AP


Samsung, Korea Selatan, Lee Jae-yong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain