suria

Suntik Virus HIV Elak Diganggu Pihak Berkuasa

DUA ahli kumpulan Los Frikis menceritakan semula bagaimana mereka menyuntik virus HIV ketika zaman pemerintahan Fidel Castro. - Ihsan portal Oddity Central

HAVANA: Sekumpulan peminat muzik punk di Cuba sanggup menyuntik darah yang dijangkiti penyakit maut HIV semata-mata mahu mengelakkan diri mereka dihukum oleh pihak berkuasa.

Kumpulan itu yang dikenali sebagai Los Frikis, terkenal pada sekitar tahun 1980-an semasa Cuba dipimpin oleh Presiden Fidel Castro dan mereka diburu pihak berkuasa kerana meminat muzik yang dilarang oleh kerajaan.

Malah kumpulan itu dianggap sebagai pro-Amerika kerana menjadikan muzik Barat sebagai ikutan walaupun ketika itu hubungan diplomatik antara Cuba dan Amerika Syarikat amat rapuh disebabkan Perang Dingin.

Pihak berkuasa Cuba ketika itu sering mengganggu ahli kumpulan Los Frikis termasuk memaksa mereka melakukan kerja buruh sebagai hukuman selain menghalang mereka bermain muzik Barat.

Disebabkan itu, kumpulan tersebut bertindak ekstrem dengan menyuntik virus HIV di tubuh mereka untuk mendapatkan kebebasan serta mengelakkan diganggu oleh pihak berkuasa.

Jumlah ahli kumpulan Los Frikis yang berbuat demikian tidak dapat dipastikan tetapi pihak berkuasa Cuba percaya beratus-ratus orang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Malah pihak berkuasa membuka sanatorium untuk menempatkan pesakit HIV termasuk anggota kumpulan Los Frikis, sekali gus memberi kehidupan bebas kepada mereka.

Seorang anggota Los Frikis, Yoandra Cardoso mengimbau kembali zaman kegemilangnya, berkata, apabila sanatorium dibuka buat kali pertama, pusat itu dipenuhi oleh anggota kumpulan peminat punk tersebut.

"Anda boleh mendengar muzik rock n roll dan heavy metal dimainkan di pusat tersebut tanpa dihalang oleh pihak berkuasa.

"Kami bersatu ketika itu," katanya.

Kini hanya satu sahaja sanatorium dibuka di Cuba di Santiago de Las Vegas untuk pesakit HIV tetapi saki baki pengikut Los Frikis tinggal di sanatorium yang telah ditutup untuk menghabiskan sisa hidup mereka.

Los Frikis, Fidel Castro, Cuba

Artikel Sebelum

Rasuah: Jutawan Samsung Ditahan

Artikel Lain