suria

Makam Sufi Pakistan Dibom, 75 Maut

SEORANG anggota polis Pakistan berbincang dengan ahli keluarga mangsa tragedi serangan berani mati di sebuah hospital tempatan dim pekan Sehwan pada 17 Februari 2017. -AFP

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah kawasan makam Sufi yang padat dengan pengunjung di tenggara Pakistan pada Khamis.

Beratus-ratus pengunjung turut dilaporkan cedera dalam serangan itu ketika satu upacara keagamaan diadakan di makam Lal Shahbaz Qalandar di Sehwan, wilayah Sindh.

Militan Daesh mendakwa bertanggungjawab dalam serangan tersebut menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web propaganda Amaq.

Timbalan Ketua Polis Hyderabad, Khadim Hussain memberitahu portal Al Jazeera, lebih 200 mangsa cedera dalam serangan tidak berperikemanusiaan itu.

Tambahnya, antara mangsa yang terbunuh termasuk 43 lelaki, sembilan wanita dan 20 kanak-kanak, dan jumlah mangsa yang maut dijangka meningkat.

Menteri Kesihatan Sindh, Sikandar Mandhro berkata, serangan itu berlaku ketika kawasan makan tersebut dipenuhi ramai pengunjung sebelum letupan kuat tercetus.

"Pusat perubatan di Sehwan tidak dilengkapi peralatan untuk menangani kes kecemasan serius seperti ini, jadi kami mengutamakan bantuan terhadap mangsa yang cedera parah," katanya.

Hospital terdekat dengan makam itu terletak kira-kira 70 kilometer.

Kawasan upacara keagamaan itu dibina pada tahun 1356, merupakan makan Syed Muhammad Usman Marwandi, seorang Sufi yang dikenali sebagai  Lal Shahbaz Qalandar yang juga tokoh agama terkenal di Pakistan.

Tragedi itu mengulangi kejadian serangan berani mati pada November tahun lalu apabila 52 orang maut di makam Sufi Shah Noorani di wilayah Balochistan, juga didalangi oleh militan Daesh.

Serangan tersebut juga merupakan siri pengeboman di seluruh Pakistan sejak Isnin apabila 13 orang maut dalam serangan berani mati di Lahore.

Kemudian pada Rabu, enam orang terbunuh apabila pengebom berani mati meletupkan diri di pusat kerajaan di Peshawar.

Sehari sebelumnya, dua anggota polis maut ketika cuba mematikan bom yang ditemukan di ibu wilayah Balochistan, Quetta.

Serangan pada Khamis disifatkan sebagai paling buruk sejak Disember 2014 apabila militan Daesh menyerang sebuah sekolah di Peshawar sehingga mengorbankan 154 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.

Pakistan, Daesh, Sufi

Artikel Lain