suria

Penyelesaian Dua Negara Bukan Jalan Keamanan - Trump

Trump (kanan) bersama Netanyahu selepas mengadakan pertemuan di Washington pada 15 Februari 2017 . - Ihsan Al Jazeera

WASHINGTON: Harapan untuk melihat keamanan kembali pulih di Asia Barat hampir terkubur selepas Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump enggan meneruskan komitmen penyelesaian dua negara melibatkan konflik Israel-Palestin.

Dalam kenyataan bersama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump berkata, beliau akan menyokong penyelesaian sehala jika kedua-dua pihak (Israel dan Palestin) bersetuju.

"Lihat pada dua negara atau satu negara, saya lebih suka dengan penyelesaian sehala jika mereka bersetuju.

"AS akan menggalakan keamanan dan perjanjian damai..Kami sedang berusaha ke arah itu. Tetapi kedua-dua pihak perlu berunding secara langsung untuk mencapai persetujuan," kata Trump.

Penyelesaian dua negara merupakan idea AS dan masyarakat antarabangsa untuk memastikan Palestin dan Israel meneruskan kehidupan secara berjiran sejak lebih dua dekad lalu.

Bagaimanapun keputusan Trump untuk mengubah komitmen Washington, bertentangan dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pendirian masyarakat antarabangsa.

Terdahulu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran bahawa tiada alternatif lain untuk menyelesaikan konflik di Asia Barat itu selain penyelesaian dua negara.

"Konflik itu hanya boleh diselesaikan dengan penubuhan dua negara iaitu Palestin dan Israel dan kita sebagai masyarakat antarabangsa perlu mengekalkan usaha tersebut," katanya.

Selain itu, Palestin turut memberi amaran terhadap AS sekiranya mengabaikan usaha terbabit.

"Jika pentadbiran Trump mengabaikan dasar (penyelesaian dua hala), keputusan itu akan menghancurkan peluang untuk mencapai keamanan dan mengenepikan kepentingan, pendirian dan kredibiliti AS di luar negara," kata pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hanan Ashrawi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain