suria

Korea Utara 'Cabar' Trump, Lancar Ujian Peluru Berpandu

PENDUDUK Korea Selatan di Seoul menonton laporan berita yang menyatakan tentang ujian peluru berpandu balistik Korea Utara pada 12 Februari 2017. - REUTERS

PYONGYANG: Korea utara melancarkan sebuah peluru berpandu balistik pada Sabtu, dipercayai tindakan provokasi untuk menguji tindak balas daripada Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Susulan tindakan Pyongyang itu, Penasihat Keselamatan Negara AS, Michael Flynn cuba menghubungi pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un bagi mendapatkan penjelasan tentang ujian senjata tersebut.

Malah Trump dalam kenyataannya beberapa jam selepas ujian peluru berpandu itu, menyuarakan sokongan penuh kepada Jepun jika Pyongyang mengancam sekutu kuat AS itu.

"Saya hanya mahu setiap pihak (sekutu) faham dan mengetahui bahawa AS sentiasa menyokong Jepun sebanyak 100 peratus sebagai sekutu kuat," kata Trump dalam satu kenyataan bersama dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkatan, peluru berpandu Pyongyang itu mencapai jarak 500 kilometer sebelum jatuh ke laut, tetapi jenis peluru berpandu yang digunakan masih belum diketahui.

"Ujian tersebut dipercayai bertujuan menarik perhatian dunia kepada Korea Utara tentang kemampuan mereka dalam membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh.

"Selain itu, ia dipercayai merupakan provokasi bersenjata untuk menguji tindak balas daripada pentadbiran baharu AS di bawah kepimpinan Trump," jelas kementerian tersebut.

Pada awalnya, Seoul mendakwa misil itu merupakan peluru berpandu jarak sederhana jenis Rodong tetapi kemudiannya berkata, senjata yang diuji merupakan jenis Musudan yang boleh mencapai jarak antara 3,000 dan 4,000 kilometer.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain