suria

5,000 Termasuk Trudeau Hadiri Pengebumian Mangsa Serangan Masjid

OTTAWA: Hampir 5,000 orang termasuk Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menghadiri majlis pengebumian tiga daripada enam mangsa serangan di sebuah masjid di Quebec pada Khamis.

Orang ramai yang terdiri daripada komuniti berlainan agama dan bangsa memenuhi arena hoki di Taman Olimpik Montreal untuk menyaksikan majlis pengebumian dua rakyat Algeria dan seorang Tunisia itu.

Ia juga disiarkan secara langsung di televisyen negara itu.

Bagi kebanyakan penduduk di negara itu, ia adalah kali pertama mereka menyaksikan upacara berkenaan. Solat jenazah turut dilakukan untuk semua mangsa.

Warga Algeria, Khaled Belkacemi, 60, dan Abedlkrim Hassane, 41, serta rakyat Tunisia, Aboubaker Thabti, 44, maut akibat ditembak bersama tiga lagi jemaah di masjid di Quebec pada Ahad.

"Seluruh negara gempar dengan serangan kejam ini dan dalam menghadapi situasi ini, kita telah bersatu dan menunjukkan solidariti," kata Trudeau.

Jenazah tiga mangsa itu dibawa pulang ke negara kelahiran masing-masing untuk dikebumikan. Sokongan mencurah-curah diterima untuk masyarakat minoriti Islam Kanada susulan serangan pada malam Ahad lalu yang turut mencederakan lapan lain.

"Kita semua menderita. Bukan hanya masyarakat Islam, bukan hanya penduduk Quebec, namun semua terjejas," kata Datuk Bandar Montreal, Denis Coderre. 

Pada Jumaat, majlis pengebumian kedua akan diadakan untuk tiga lagi mangsa iaitu warga Guinea-Kanada, Mamadou Tanou Barry, 42 dan Ibrahima Barry, 39, serta rakyat Maghribi, Azzeddine Soufiane, 57 yang telah 30 tahun menetap di Quebec.--AFP


 




Trudeau, Kanada, Quebec, masjid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain