suria

'Lelaki Bertopi' Didakwa Akibatkan 130 Kematian Di Paris

PARIS: Suspek serangan bom di lapangan terbang Brussels, Belgium tahun lalu dihadapkan ke mahkamah di Perancis berhubung kejadian pembunuhan beramai-ramai di bandaraya ini pada November 2015.

Pihak berkuasa Belgium menyerahkan Mohamed Abrini, 32, yang digelar ‘lelaki bertopi’ kepada Perancis untuk sehari bagi membolehkan dia didakwa atas serangan yang menyebabkan 130 kematian itu.

Lelaki berusia 32 tahun itu dikawal ketat dan dibawa pengawal bersenjata ke Palais de Justice di Paris untuk pertuduhan itu.

Warga Belgium berketurunan Maghribi itu ditangkap di Brussels pada April tahun lalu selepas disyaki terbabit dalam serangan pada 22 Mac di Brussels dan pembunuhan di Paris, kedua-duanya didakwa dilakukan kumpulan Daesh.

Penyiasat Belgium berkata, pengebom lapangan terbang Brussels dan stesen metro yang membunuh 32 orang adalah dari kumpulan sama yang merancang serangan di Paris.

Mohamed yang dirakam memakai topi oleh kamera keselamatan melarikan diri dari lapangan terbang Brussels tanpa meletupkan bom dalam beg pakaiannya, kata pendakwa raya.

Rakannya, Najim Laachraoui dan Ibrahim El Bakraoui meledakkan bahan letupan mereka, menyebabkan 16 orang terbunuh termasuk mereka sendiri.

Pihak berkuasa Belgium sudah mendakwa Mohamed atas pembunuhan di Paris, menyebabkan peguamnya mengadu dia berisiko dibicarakan dua kali untuk kesalahan sama. - AFP


Abrini, Paris, Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain