suria

AS Bakal Laksana Larangan Kemasukan Pelarian Islam

WASHINGTON: Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka menandatangani beberapa arahan eksekutif bagi melaksanakan larangan kemasukan pelarian atau pendatang dari negara Islam ke AS.

Menurut laporan Reuters, arahan Presiden itu akan menyekat akses pelarian dan pemegang visa dari beberapa negara termasuk Iraq, Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen.

Pengumuman berhubung pelaksanaan larangan itu akan dibuat pada Rabu (Khamis waktu Malaysia) di Jabatan Keselamatan Negara AS.

Kumpulan kempen masyarakat Islam di AS berkata, mereka sedia meneliti maklumat arahan tersebut dan memberi bayangan bahawa mereka akan mencabar arahan itu.

Jurucakap Majlis Perhubungan Islam-Amerika, Ibrahim Hooper berkata, pihaknya sudah membentuk pakatan dengan beberapa kumpulan lain untuk mempertahankan hak serta kebebasan beragama.

"Kita masih menunggu pelaksanaan larangan yang dikatakan bertujuan untuk orang Islam sebelum bertindak," katanya.

Trump mencetuskan kontroversi semasa berkempen menjadi Presiden apabila menyatakan hasrat untuk mengamalkan dasar melarang orang Islam memasuki AS bagi menangai ancaman keganasan.

"Jika saya dipilih, saya akan menggantung kemasukan pendatang dari beberapa buah negara yang mempunyai sejarah keganasan terhadap AS, Eropah dan sekutu kami, sehingga kita benar-benar memahami bagaimana untuk menangani ancaman tersebut," kata Trump ketika berucap pada Jun tahun lalu.

Selain itu, Trump juga merancang untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan dadah serta penyusupan pendatang asing ke negara tersebut.

Donald Trump

Artikel Sebelum

'Bunuh Semua Bayi Lelaki'

Artikel Lain