suria

184 Suspek, 526 Mangsa Kes Cabul Kanak-Kanak Kelab Bola Sepak UK

LONDON: Siasatan polis Britain terhadap dakwaan pencabulan seksual kanak-kanak di kelab bola sepak sejak 1970-an telah mengenal pasti 184 suspek dan 526 mangsa.

Setakat ini, sebanyak 1,016 kes pencabulan sukan telah diserahkan kepada pasukan detektif khas yang ditubuhkan pihak polis dan yayasan perlindungan kanak-kanak.

“Bilangan mangsa kini seramai 526, meningkat daripada 350 orang pada bulan lalu,” kata polis dalam satu kenyataan.

Polis melancarkan siasatan selepas bekas pemain bola sepak, Andy Woodward mendedahkan pada November lalu bahawa dia telah dicabul semasa kanak-kanak oleh seorang jurulatih pasukan bola sepak remaja.

Dakwaan Woodward mendorong lebih ramai bekas pemain bola sepak profesional untuk tampil membuat pengakuan serupa.

Sementara itu, Majlis Ketua-Ketua Polis Nasional berkata, sebanyak 248 kelab bola sepak dikaitkan dengan skandal seks itu termasuk beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris dan kelab amatur, bagaimanapun tidak semua disiasat.

Pihak berkuasa berkata, beberapa sukan lain juga dikaitkan dengan skandal seks itu.

Setakat ini, kata polis, 22 kes yang dirujuk itu mempunyai kaitan dengan sukan lain termasuk ragbi, gimnastik, seni mempertahankan diri, tenis, gusti, golf, kriket dan renang.

“Dakwaan pencabulan seks pada masa lalu adalah rumit dan memerlukan kemahiran serta pengetahuan khas. Siasatan pula akan mengambil masa yang panjang.

“Namun, polis telah bertindak atas semua dakwaan dan maklumat yang diterima,” kata ketua unit perlindungan kanak-kanak polis Britain, Ketua Konstabel Simon Bailey. – Reuters



Britain, Andy Woodward

Artikel Sebelum

Soros Anggap Trump Diktator

Artikel Berikut

Obama Tak Mahu Cakap Banyak

Artikel Lain