suria

Feri Terbakar Di Indonesia, 23 Penumpang Maut

PASUKAN penyelamat melakukan pemeriksaan ke atas feri yang terbakar di pelabuhan Muara Angke di Jakarta pada 1 Januari 2017. - AP

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dan 17 mangsa lagi masih hilang apabila sebuah feri terbakar dalam kejadian di pesisiran pantai ibu negara Indonesia pada Ahad.

Menurut pegawai Agensi Pencegahan Bencana, Seply Madreto, feri milik Zahra Express itu membawa lebih 230 penumpabg termasuk pelancong asing dari pelabuhan Muara Angke ke Tidung, sebuah pulau peranginan di rangkaian Kepulauan Seribu.

Jelas beliau, kebakaran memusnahkan sebahagian feri berkenaan dan seramai 22 mangsa yang cedera kini dirawat di hospital.

"Kira-kira 10 kapal telah dikerah untuk menyertai misi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang," katanya tanpa menjelaskan punca sebenar kejadian.

Identiti penumpang yang terkorban masih belum dapat dipastikan sama ada melibatkan pelancong asing atau rakyat tempatan.

Saksi kejadian memberitahu stesen televisyen tempatan, MetroTV, kebakaran tersebut tercetus kira-kira 15 minit selepas feri itu meninggalkan Muara Angke.

Beberapa penumpang yang terselamat mendakwa, kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin kapal berkenaan.

Nahas melibatkan feri sering berlaku di Indonesia yang merupakan negara paling banyak memiliki pulau dengan jumlah lebih 17,000 pulau.


Feri, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Lain