suria

Masa Depan Syria Ditentukan Tengah Malam Sabtu

GAMBAR FAIL

NEW YORK: Masa depan Syria kini bergantung kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan usul resolusi Rusia bagi melaksanakan perjanjian gencatan senjata sepenuhnya di negara bergolak itu.

Gencatan senjata yang diusahakan oleh Turki dan Rusia sudah dikuatkuasakan di negara terbabit bermula tengah malam Khamis dan resolusi PBB itu diperlukan bagi memulakan proses rundingan damai antara kumpulan penentang dan kerajaan Syria.

Majlis Keselamatan PBB bersetuju mengadakan undian lewat malam Sabtu selepas mengadakan pertemuan secara tertutup sehari sebelumnya.

Bagaimanapun perjanjian gencatan senjata itu tidak melibatkan militan Daesh dan Jabhat Fateh al-Sham yang dulu dikenali sebagai Al-Nusra Front.

Ankara dan Moscow telah menghantar usul resolusi gencatan senjata dan perjanjian damai itu kepada Majlis Keselamatan sejak Khamis lalu dengan harapan meraih sokongan daripada badan dunia tersebut.

Resolusi itu menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan secara selamat, pantas dan telus ke seluruh kawasan yang terjejas di Syria.

Selain itu, resolusi itu menyebut tentang rundingan damai antara puak penentang dan kerajaan Syria di ibu negara Kazakhstan, Astana pada lewat Januari bagi menamatkan konflik yang berlanjutan hampir enam tahun.

Resolusi tersebut juga menjelaskan tentang rangka kerja menuju keamanan dengan dimulakan menerusi pembentukan peralihan kerajaan.

Namun resolusi itu dijangka menerima tentangan daripada tiga musuh Syria iaitu Amerika syarikat, Britain dan Perancis yang memiliki kuasa veto.

Syria, Rusia, Turki, PBB

Artikel Lain