suria

Resolusi Malaysia Desak Henti Bina Penempatan Haram Diterima PBB

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) membenarkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima satu resolusi menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan haram di tanah milik Palestin, sekali gus mengenepikan tekanan bakal Presiden Donald Trump dan sekutunya rejim Zionis agar menggunakan kuasa veto bagi membantah usul tersebut.

Resolusi berkenaan yang dikemukakan oleh Malaysia, New Zealand, Venezuela dan Senegal sehari selepas Mesir enggan berbuat demikian ekoran tekanan daripada Trump dan Mesir, merupakan yang pertama diterima oleh majlis dunia itu dalam tempoh hampir lapan tahun.

Keengganan AS menggunakan kuasa veto membuka laluan kepada majlis keselamatan tersebut untuk meluluskan resolusi terbabit dengan mendapat 14 undian sokongan daripada 15 anggota badan dunia itu.

"Israel menolak resolusi anti-Israel di PBB dan tidak akan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan," kata Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu yang menggalakkan pembinaan penempatan haram Yahudi di kawasan jajahannya.

Keputusan pentadbiran Presiden Barack Obama itu memecah tradisi lama AS untuk melindungi Israel, sekutu Washington yang menerima lebih AS$3 bilion (RM12 bilion) dana ketenteraan pada setiap tahun.

Selain AS, China, Rusia, Perancis dan Britain mempunyai kuasa veto di dalam majlis keselamatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengalu-alukan resolusi tersebut manakalan Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin menggesa Israel menghormati undang-undang antarabangsa.

Trump dan Israel sebelum ini meminta Obama untuk menggunakan kuasa veto bagi menghalang resolusi tersebut dilaksanakan, tetapi Presiden AS itu enggan berbuat demikian.

Namun Trump menerusi satu kenyataan dalam Twitter berkata, keputusan undian terbabit akan berubah selepas 20 Januari depan apabila beliau mengambil-alih pentadbiran AS daripada Obama. - REUTERS


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain